Budaya childfree membimbangkan, bertentangan naluri semula jadi manusia: Mimbar

Menurut mimbar, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan masyarakat tertarik budaya childfree dengan faktor ekonomi rumah tangga merupakan faktor utama

4:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Budaya childfree iaitu kebebasan untuk tidak memiliki anak atas persetujuan sama ada sebelum atau semasa perkahwinan yang menjadi kecenderungan di Barat dilihat semakin membimbangkan apabila mula mendapat perhatian pasangan muda tempatan yang baru mendirikan rumah tangga.

Perkara itu diketengahkan dalam teks khutbah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang bertajuk ‘Childfree: Antara sinar iman dan samar keyakinan’.

Untuk itu mimbar memetik statistik Jabatan Perangkaan iaitu secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 49 bayi bagi setiap jam dan 1,182 bayi dilahirkan sehari pada suku pertama tahun ini.

Namun ia merekodkan penurunan kepada 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada tempoh sama tahun lalu.

“Tujuan utama pembentangan data ini ialah bagi membuktikan bahawa satu budaya dan pemahaman yang semakin membimbangkan sedang menular dalam kalangan masyarakat dewasa ini. Budaya ini telah mula menjadi kecenderungan pasangan muda di Barat dan semakin mendapat perhatian dalam kalangan pasangan muda tempatan yang baharu berumah tangga,” katanya.

Menurut mimbar, terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan masyarakat tertarik budaya childfree dengan faktor ekonomi rumah tangga merupakan faktor utama.

“Keresahan berkaitan kewangan yang perlu dibelanjakan sepanjang proses penjagaan anak sering menjadi alasan. Namun mungkin kita terlupa bahawa setiap anak dilahirkan dengan peruntukan rezeki masing-masing. Allah SWT menyusun dan mentadbir rezeki kita dan anak.

“Faktor kedua ialah keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab menjaga atau mendidik anak. Seterusnya faktor budaya kerja dan persekitaran yang sangat padat dan kekangan masa untuk keluarga, juga menjadi punca mereka memilih konsep childfree ini,” katanya.

Mimbar turut mengingatkan bahawa anak-anak merupakan sumber pahala yang berterusan kerana setiap perbelanjaan untuk anak dan keluarga pasti akan dinilai sebagai kebaikan.

Mimbar menegaskan, antara kesan jangka panjang utama yang boleh berlaku apabila budaya childfree ini berterusan ialah, kegagalan pembentukan kelompok masyarakat yang berkualiti dan robohnya institusi kekeluargaan yang harmoni.

“Tenaga kerja produktif juga akan semakin berkurangan terutamanya untuk meneruskan budaya, tradisi dan pembagunan negara di masa hadapan. Tenaga mahir bagi meneruskan peranan sebagai khalifah di muka bumi juga akan rapuh serta hilang sifat kasih sayang dan ihsan dalam kalangan masyarakat.

“Tentunya bergaul dan bermesra dengan anak dan keluarga akan melahirkan generasi penyayang dan ingin dikasihi. Budaya childfree ini juga bertentangan dengan tujuan perkahwinan bagi melahirkan zuriat yang soleh serta menjaga keturunan daripada tercemar.

“Bahkan pensyariatan ini selaras dengan salah satu kecenderungan fitrah semula jadi manusia iaitu memiliki keturunan dan keluarga,” katanya. – 2 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Related