Netizen tidak senang tengok penulis surat layang kes Zulfarhan ‘defend’ UPNM

Dalam hantaran tersebut, Aiman Aufa turut menolak tanggapan orang ramai yang mendakwa universiti itu banyak membawa anasir negatif terhadap pelajar

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Letfenan Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, 28, yang dilihat ‘mempertahankan’ Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak disenangi ramai netizen.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Aiman Aufa yang merupakan penulis surat layang dan saksi pendakwaan kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, mencoretkan sepanjang pengalamannya belajar di institusi pengajian tinggi tersebut.

Dalam hantaran tersebut, Aiman Aufa turut menolak tanggapan orang ramai yang mendakwa universiti itu banyak membawa anasir negatif terhadap pelajar.

“Kalau betul UPNM lahirkan pembunuh, mana mungkin senior dan junior boleh lepak sama-sama makan semeja.

“Jujur, sehingga kini saya masih berhubung rapat dan bekerja bersama dengan senior saya semasa di UPNM dahulu.

“Jika bukan kita (alumni dan penuntut UPNM) yang beritahu perkara dan keadaan sebenar, siapa lagi. Usah berdiam diri daripada buli siber. Say no to bully (katakan tidak pada buli),” katanya.

Dalam perkongsian itu juga, Aiman Aufa turut mengepilkan beberapa gambar memperlihatkan perjalanannya sepanjang menuntut di UPNM, termasuk foto bersama Allahyarham Zulfarhan.

Namun begitu, tindakannya itu dilihat kurang disenangi netizen yang menyifatkan perbuatannya itu dilihat tidak menjaga sensitiviti keluarga Zulfarhan terutama ibu bapanya yang sehingga ke hari ini masih bersedih dengan kematian tragik anak mereka.

Malah, ramai netizen menggesa pegawai tentera yang menjalani latihan di Australia itu menurunkan hantaran tersebut kerana dirasakan ia tidak sesuai untuk ‘ditayangkan’ pada ketika kes ini kembali hangat diperkatakan selepas Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap keenam-enam tertuduh yang terlibat dalam kes pembunuhan Zulfarhan.

“Maaf, saya rasa tuan tak perlu buat posting sebegini. Tidak sesuai dengan keadaan dan isu semasa. Ini melibatkan nyawa yang mana mungkin kalau arwah masih hidup, dia juga boleh berbakti pada negara sama macam tuan. Ini bukan kes buli biasa, ini kes melibatkan pembunuhan dan menggadai satu nyawa yang tak bersalah,” kata @nurul.anisha97.

“Rasanya, macam kena archive dulu kot posting ni? Tak kena waktu dan keadaan semasa. Your university tak minta maaf langsung dekat keluarga arwah. Posting ini nak tunjuk apa sebenarnya?” soal @hhusnahelmy.

“Salam tuan, maaf saya rasa posting ni tidak patut dinaikkan ketika isu Zulfarhan dan UPNM masih panas. Mungkin tuan bernasib baik. Ada hati yang perlu kita jaga. Faham sensitiviti keluarga dan masyarakat,” kata @pakarcantikdansihat.

Terdahulu, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros berkongsi kepada pihak media, walaupun sudah tujuh tahun pemergian anaknya namun pihak universiti dan ibu bapa pesalah langsung tidak pernah membuat permohonan maaf terhadap keluarga mereka berikutan insiden menyayat hati itu.

Selasa lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut UPNM atas kesalahan membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali. – 28 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related