Cuaca panas: Operasi Pembenihan Awan akan dilaksana 3 hari di Perak, Kedah

Operasi itu akan dilaksanakan esok hingga 31 Julai ini untuk meningkatkan paras air Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Muda, Kedah bagi tujuan pertanian serta kegunaan air domestik

11:48 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama tiga hari berturut-turut di Perak dan Kedah, sebagai antara usaha untuk menangani impak fenomena cuaca panas ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu akan dilaksanakan esok hingga 31 Julai ini untuk meningkatkan paras air Empangan
Bukit Merah di Perak dan Empangan Muda, Kedah bagi tujuan pertanian serta kegunaan air domestik.

Katanya, OPA dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

“Ia dilaksanakan melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Selaku Pengerusi Bencana Pusat, saya bersetuju bahawa pelaksanaan OPA ini dibuat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan, sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering.

“Usaha ini adalah satu daripada inisiatif kerajaan untuk menangani impak
fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga penghujung September 2024,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, MetMalaysia menjangkakan taburan hujan di Kedah dan Perak berada pada tahap rendah hingga September 2024.

Bekalan air dari empangan Muda, katanya, dimaklumkan dialirkan ke empangan Pedu bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi bagi Musim 1/2024.

Ujarnya, semasa permulaan musim tanaman padi di sekitar Sungai Muda, akan berlaku konflik di antara keperluan domestik, industri dengan pengairan padi.

“Keutamaan akan diberikan kepada keperluan domestik/industri. Kekurangan turunan hujan akan mengakibatkan takungan simpanan terus
menyusut, seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa
panjang,” katanya.

Beliau berkata, tanaman padi kawasan Muda adalah lokasi jelapang padi terbesar di Malaysia, dengan keluasan 100,641.19 hektar, iaitu 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.

Jelasnya, kawasan tanaman padi di Kerian yang menerima sumber air dari empangan Bukit Merah pula, adalah jelapang padi ke-3 terbesar di Malaysia dengan keluasan 20,326 hektar.

Menurut laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada 26 Julai 2024, katanya, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus, manakala Empangan Bukit Merah adalah 15.25 peratus. – 28 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related