KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda tampil memohon maaf selepas gambar kenderaannya diletakkan di laluan pejalan kaki menjadi tular di media sosial.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah mengakui melakukan kesalahan tersebut dan bersedia untuk dikenakan kompaun.
“Saya mengambil maklum dengan isu tular sebuah kenderaan Ahli Parlimen (Dewan Negara) yang diletakkan di laluan pejalan kaki.
“Sebagai pemilik kenderaan tersebut, saya dengan penuh rasa kesal memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab penuh,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Ujarnya lagi, dia berjanji kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.
“Saya amat menyesali kesulitan yang timbul dan bersedia dikenakan kompaun atas kesalahan tersebut.
“Saya berjanji kejadian ini tidak akan berulang lagi,” katanya.
Terdahulu, tular gambar di platform X memaparkan sebuah Proton X90 milik seorang wakil rakyat diletakkan di atas laluan pejalan kaki sehingga mengganggu pengguna laluan tersebut.
Tindakan Hasbie mengundang kemarahan orang ramai kerana dianggap menyalahgunakan kedudukannya sehingga mengganggu fasiliti untuk kegunaan orang awam. – 24 Julai, 2024