KUALA LUMPUR – Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat di Sungai Muda, di Kedah bagi memastikan bekalan air mencukupi di negeri itu termasuk menampung keperluan penduduk di Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa agensi termasuk Lembaga Sumber Air Negeri (LSAN), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) telah meminta pembenihan awan dilakukan.
“Sebelum ini, Pulau Pinang juga ada membuat permintaan untuk pelepasan air dari Empangan Beris.
“Sehari dua ini, akan dibuat pembenihan awan hasil permintaan dari Lembaga Sumber Air, Mada (dan) Sada yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) beberapa kali.
“Saya difahamkan tiga kali pembenihan awan untuk kita stabilkan semula kedudukan paras air di Sungai Muda,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Star hari ini.
Sanusi turut menzahirkan rasa simpati dengan nasib Pulau Pinang yang terkesan berikutan paras air Sungai Muda menurun.
“Saya nampak gambar kekeringan di muka sauk di Lahar Tiang, yang paras air Sungai Muda ini surut. Jadi empat hari lepas, dilepas 10 q (meter padu) air,” katanya.
Beliau memberitahu, pelepasan air akan dilakukan secara berkala sehingga paras air stabil untuk menghasilkan air terawat dan bersih.
“Jadi saya nak mengesahkan bahawa memang Pulau Pinang bergantung kepada Kedah tentang bekalan air,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) terpaksa melepaskan air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai.
Ia berikutan paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dekat sini menurun di bawah dua meter selama empat hari berturut-turut sejak Khamis lalu. – 24 Julai, 2024