KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 kontena yang dijadikan rumah kongsi dan tempat simpanan barang musnah dalam kebakaran di tapak pembinaan berhampiran Vila Mangsa Mas, Jalan Seri Wangsa 2 di Wangsa Maju, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, M. Letchumanan memaklumkan, kontena terbabit ada yang dijadikan sebagai rumah kongsi dan ada juga yang menjadi tempat simpanan barang untuk kerja.
Malah ada juga kontena yang kosong.
Letchumanan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi dan menghantar jentera dengan 21 anggota.
“Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan kaedah pemadaman secara offensive dan defensive untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.
“56 unit kontena itu terbakar 100 peratus,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari.
Beliau berkata, kebakaran itu berlaku di kawasan seluas 100 x 50 kaki persegi dan ia dipadamkan sepenuhnya pada 12.02 tengah hari.
“Tiada mangsa yang terlibat semasa kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan,’’ katanya. – 24 Julai, 2024