KUALA LUMPUR – Isu Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu menghadiri sebuah program dianjurkan sebuah syarikat minuman keras yang menaja acara pendidikan di kawasannya baru-baru ini dapat diselesaikan dengan permohonan maaf.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bagaimanapun keadaan itu dikeruhkan lagi apabila timbalan menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan membangkitkan isu ‘tangan makan babi’.
“Saya rasa yang paling baik ialah timbalan menteri nyatakan bahawa ‘saya minta maaf, saya tak perasan ada promosi dari syarikat arak dalam majlis itu’, selesai. (Tapi) Ini dah melalut sampai isu tangan makan babi.
“Orang persoalkan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), menteri pun dah keluarkan kenyataan tiada pengecualian. Apa pula kaitan dengan tangan makan babi ini. Untuk makluman, tiada masalah bersalam dengan tangan makan babi, tiada hukum yang kata tak boleh.
“Bersalamlah asalkan bukan berlainan jantina yang bukan mahram. Tangan makan rasuah, tangan langgar janji dengan rakyat, tangan tipu rakyat lebih hina dari tangan makan babi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Aiman menyifatkan PAS hipokrit kerana mengkritiknya menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat arak.
Aiman turut membidas pemimpin PAS sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalaman dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.

“Masa kempen itu, dia kalau orang tengah minum arak pun tak apa. Makan babi pun tak apa.
“Baru lepas makan babi salam pun tak apa. Hipokrit,” katanya.
Sebelum ini, gambar Aiman tular di media sosial dan menerima kecaman netizen yang menyatakan beliau tidak sepatutnya menghadiri dan mempromosi iklan minuman keras lebih-lebih lagi program itu membabitkan sebuah sekolah rendah di Parlimen berkenaan.
Susulan itu, Aiman memohon maaf di atas tindakannya itu dan berkata sebagai pemimpin beliau tidak boleh menghalang hak kaum lain.
“Namun saya percaya ramai yang akan faham situasi ini dan tidak akan termakan fitnah yang disebarkan.
“Khilaf ada di mana-mana, apapun kepada pihak yang tersinggung saya minta maaf sekali lagi,” katanya. – 23 Julai, 2024