Didakwa gagal patuh akur sumpah Timbalan Menteri Pendidikan, Kah Woh digesa letak jawatan

Pendirian PAS terhadap arak jelas dan konsisten, malah perbuatan menormalisasikan syarikat bir dalam institusi pendidikan sangat tidak masuk akal serta mesti ditegah

7:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kritikan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh bahawa Pemuda PAS memutarbelit fakta bagi menghasut emosi masyarakat berkaitan isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah kerajaan, menampakkan kedangkalan pemikirannya.

Pemuda PAS menerusi kenyataan memaklumkan, kebodohan Kah Woh sebagai anggota Kabinet semakin terserlah, apabila dia memihak kepada tindakan yang bertentangan dengan dasar kementerian atas dakwaan kononnya ia bagi meringankan beban kerajaan.

Malah, kritikannya berhubung isu berkenaan membuka pekung sendiri apabila beliau mendedahkan syarikat arak itu, aktif melaksanakan aktiviti terbabit sejak sekian lama.

“Selain itu, komentarnya berkaitan status pelanggaran peraturan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Tche Min bergantung kepada siasatan kementerian, sangat diragui ketelusannya,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, Pemuda PAS membangkitkan tiga persoalan yang mesti dijawab Kah Woh.

“(Pertama) Sepanjang 30 tahun syarikat bir mengumpulkan dana, berapakah nilai sumbangan terkumpul dan sejauh mana membantu mengurangkan beban kerajaan?

“(Kedua) Apakah tiada campur tangan dari menteri untuk siasatan kes ini dalam menentukan pelanggaran peraturan kementerian?

“(Ketiga) Dalam surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan tatacara penerimaan sumbangan menyatakan ‘tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani’, apakah Kah Woh membacanya?” soalnya.

Pada masa sama, penglabelan ‘pihak ekstrem’ yang ditujukan kepada Pemuda PAS dalam hal ini, adalah keterlaluan dan membuktikan DAP mempraktikkan politik ‘fear mongering’, iaitu menimbulkan ketakutan kepada orang lain dengan sengaja tanpa ada alasan munasabah.

Menurutnya, pendirian PAS terhadap arak jelas dan konsisten, malah perbuatan menormalisasikan syarikat bir dalam institusi pendidikan sangat tidak masuk akal serta mesti ditegah.

Perkara harus diingat, katanya, pelantikan menteri adanya akur sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang berjanji untuk jujur menunaikan kewajipan jawatan dengan segala upaya, menumpahkan taat setia sebenar kepada Malaysia serta akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.

“Tindakan Kah Woh membela syarikat bir sepertinya bertentangan dengan lafaz akur sumpah diungkapnya,” katanya.

Justeru, Pemuda PAS menggesa Kah Woh meletakkan jawatan secara sukarela atas kegagalan mematuhi akur sumpah menteri.

“Jika tidak, Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), mesti mengambil tindakan serius kepada Timbalan Menteri Pendidikan itu kerana ia seperti harapkan pagar, pagar makan padi.

“Tindakan mengekalkan individu yang tiada kompas moral dan diragui kesetiannya, akan membinasakan sistem pendidikan negara kita,” katanya. – 23 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related