KUALA LUMPUR – Kajian khusus dan terperinci untuk meneliti kebaikan dan keburukan saranan melanjutkan perlindungan hak cipta dan hak rakaman kepada 70 tahun perlu melibatkan wakil organisasi badan kolektif (CMO) tanah air.
Bercakap kepada Scoop, aktivis dan penggiat muzik, Kimmy Khir berkata, penglibatan badan CMO seperti Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia Berhad (PPM) serta Recording Performers Malaysia (RPM) menerusi kajian khusus dan terperinci itu amat diperlukan bagi membekalkan dokumen dan fakta hasil kutipan royalti yang selama ini dikutip.
“Dokumen dan fakta yang diperlukan ini merangkumi hasil peratus pendapatan royalti kekal dalam negara dan hasil peratus pendapatan yang dibayar ke luar negara. Bahkan, kita juga perlu mengetahui berapakah peratus perubahan pendapatan sejak lima tahun kebelakangan ini. Adakah berlaku kenaikan atau penurunan?
“Apakah pula perjanjian-perjanjian tertentu di antara badan CMO kita seperti MACP, PPM dan RPM dengan CMO di luar negara melalui ‘reciprocal agreement’ yang membuatkan mereka wajib atau tidak wajib membayar kutipan hasil negara ke CMO luar negara melalui perjanjian sedia ada.
“Apakah ia akan memberikan kesan kepada badan CMO kita? Kalau mengakibatkan kerugian, maka penyediaan langkah perlu diperhalusi agar pengeluaran wang kita ke luar negara itu tidak melebihi daripada pendapatan royalti kita,” katanya.
Menurut Kimmy, kerajaan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), CMO, perundangan negara serta ahli akademik perlu bersama mengkaji dan mengutamakan perkara tersebut dan bukan sekadar mengadakan sesi dialog dengan pihak tertentu sahaja.
“Kajian dan hasil daripada kutipan fakta perlu dilakukan kerana dengan hasil kajian inilah, kita akan mendapat jawapan tepat.
“Negara mempunyai banyak universiti tempatan yang memfokuskan pembelajaran dalam bidang muzik. Ini adalah peluang mendapatkan kerjasama atau bantuan daripada ahli akademik untuk membantu melakukan kajian mengenai isu ini.
“Pensyarah Kanan Jabatan Muzik dari Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya, Adil Johan adalah antara pensyarah yang pernah melakukan banyak kajian mengenai isu seperti ini,” katanya.
Katanya, seandainya hasil dapatan daripada kajian terperinci yang dilakukan ini menunjukkan tempoh lanjutan 70 tahun itu belum mampu dilaksanakan, setidak-tidaknya ia dapat membantu memperbaiki secara koletkif agar syarat yang diperlukan mencukupi untuk mencapai ke arah tersebut.
“Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pernah mengadakan sesi bengkel untuk membahas serta membincangkan mengenai isu ini.
“Ketika itu penggiat-penggiat serta aktivis muzik dilibatkan sama dalam perbincangan ini untuk mendapatkan pendekatan serta kata putus terbaik demi kepentingan industri dan kami masih menunggu kesinambungan sesi tersebut,” katanya.
Mengenai isu royalti dan karya lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang kini sudah berstatus ‘domain awam’, Kimmy berkata, jika hendak perjuangkan hak Seniman Agung tersebut, ia tidak seharusnya tertumpu kepada penciptaan lagu dan lirik sahaja.
“Sebaliknya hak beliau sebagai penyanyi dan pemilik rakaman (jika ada) perlu diambil kita. Perlu perhalusi dan mengkaji semula perjanjian beliau dalam semua kategori. Dengan kata lain, kita harus melakukan review semula tentang perjanjian-perjanjian beliau dalam semua kategori yang ada,” katanya. – 23 Julai, 2024