KUALA LUMPUR – Kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang hilang di Iskandar Puteri pada Sabtu lalu, telah ditemui dalam keadaan selamat di Batang Kali, Selangor awal pagi ini.
Penemuannya itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, M Kumar pada sidang media khas berhubung kes terbabit sebentar tadi.
Katanya, kanak-kanak itu ditemui di sebuah premis hotel murah bersama seorang lelaki berumur 31 tahun pada kira-kira jam 4 pagi.
āMangsa diselamatkan polis menerusi operasi besar-besaran serta maklumat orang awam, manakala suspek terbabit ditangkap dan dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut.
āMangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.
āMotif kejadian masih dalam siasatan dan suspek akan dibawa ke mahkamah petang ini untuk direman,ā katanya.
Kumar berkata, ibu bapa kanak-kanak itu sudah dimaklumkan mengenai penemuan mangsa.
āMenerusi maklumat diberikan keluarga mangsa, tiada sebarang panggilan untuk pampasan diterima mereka berhubung kehilangan anak mereka itu,ā katanya.
Mengulas lanjut, Kumar berkata, secara keseluruhannya, polis sudah memberkas lima individu setakat ini, termasuk suspek lelaki bersama mangsa bagi membantu siasatan.
āSelain tiga suspek yang ditahan semalam, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, polis menahan seorang lagi wanita lewat malam tadi, dengan semua mereka sudah direman.
āManakala suspek lelaki yang ditemui bersama mangsa akan dibawa ke mahkamah (Johor) petang ini untuk proses reman.
āKelima-lima individu ini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kanak-kanak terbabit,ā katanya.
Menurutnya, siasatan berhubung kes itu dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.
āSeksyen itu digunakan memandangkan mangsa adalah kanak-kanak dan di bawah umur. Perlakuan suspek mungkin membabitkan kanak-kanak itu ditarik atau disentuh kerana sentuhan ini tidak dibenarkan, ia menjadi kesalahan,ā katanya yang memaklumkan mangsa dilarikan menggunakan sebuah kenderaan.
Pada masa sama, Kumar meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat tidak benar, bagi mengelakkan siasatan polis terganggu.
āDalam kes ini, sebaik benda ini tular, banyak panggilan diterima keluarga mangsa yang memberikan maklumat tak tepat, sekali gus mengganggu siasatan polis,ā katanya.
Sementara itu, Kumar merakamkan penghargaan kepada petugas media dan orang awam yang bersama-sama āberjuangā dengan polis di semua peringkat, sehingga kanak-kanak itu ditemui.
āKejayaan (menyelamatkan mangsa) ini dalam tempoh 48 jam sahaja,ā katanya.
Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya pada kira-kira jam 8.30 malam, 20 Julai lalu ketika berada di sebuah pusat beli-belah di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Dia dikatakan memakai baju T berwarna putih tertera gambar āMickey Mouseā di dada dan berseluar pendek, dengan memiliki ketinggian kira-kira 120 sentimeter, berambut panjang warna hitam, berkulit cerah serta tubuh sederhana kurus.
Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada tengah malam 21 Julai lalu, polis berusaha menjejaki kanak-kanak itu di seluruh negara.
Kes itu turut diklasifikasikan semula daripada kehilangan kepada melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah. ā 23 Julai, 2024