Josiah Hogan beri tiga sebab lepaskan kewarganegaraan AS

Pelakon itu mengakui tidak berasa kesal dengan keputusan melepaskan kewarganegaraan Amerika Syarikatnya demi menjadi warga Malaysia

10:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pelakon, Josiah Hogan mengakui tidak berasa kesal sama sekali dengan keputusan melepaskan kewarganegaraan sebagai rakyat Amerika Syarikat (AS) demi menjadi rakyat Malaysia sepenuhnya.

Sebaliknya, Josiah ketika ditemui Scoop berkata, dia mempunyai beberapa sebab serta alasan kukuh melepaskan kewarganegaraan asalnya itu.

“Pertama, saya berkahwin dengan orang Malaysia. Kedua, saya memikirkan tentang masa depan anak-anak saya dan kita ada raja yang menjadi simbol pada agama Islam dalam negara.

“Saya rasa selesa bila anak-anak dibesarkan dalam suasana Islam di negara ini. Perkara itu bagi saya amat penting. Bila kita sampai satu tahap umur, kita tidak akan ambil mudah perkara-perkara seperti ini.

“Ketiga, kerjaya seni saya juga di sini. Waktu saya buat permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia, saya ditanyakan soalan apa yang saya boleh tawarkan untuk negara ini, saya jelaskan saya bekerja dalam industri kreatif tanah air, jika ada rezeki saya nak cerita pada dunia mengenai Malaysia dalam filem,” kata aktor yang sudah memiliki empat cahaya mata ini.

Menurut Josiah, dia sudah pun turun naik ke Putrajaya dan menyerahkan segala dokumentasi bagi membuat permohonan tersebut dan sedang menunggu keputusan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

“Status saya sekarang ini adalah sebagai penduduk tetap serta memiliki kad pengenalan merah. Untuk saya melepaskan kewarganegaraan AS saya perlu membayar wang sebanyak AS$5,000 (RM23,354).

“Mak saya pun turut melepaskan kewarganegaraan Amerika untuk menjadi warga Malaysia. Tapi proses yang dia lalui lebih mudah berbanding saya kerana dia berkahwin dengan rakyat Malaysia dan dia dah pun dapat keputusan, tinggal lagi nak ambil kad pengenalan biru,” katanya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran dan tayangan perdana Unifi Originals, Bara Jiwa arahan Osman Ali.

Josiah yang dari kecil mengikut ibunya berpindah ke Malaysia berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, dia sudah punya perancangan untuk melepaskan kewarganegaraannya.

“Disebabkan PKP, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Sebab asyik tangguh, baru tahun ini, saya betul-betul ‘all out’ melakukannya dan saya tidak tahu bila akan dapat keputusannya.

“Saya ada meminta YB (Yang Berhormat) Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) untuk memberi surat rekomendasi menyatakan saya ini bekerja dalam industri kreatif hiburan di Malaysia,” katanya.

Menjelaskan mengenai drama Bara Jiwa yang dihasilkan sebanyak lapan episod, dia mengakui sentiasa teruja untuk bekerjasama dengan Osman Ali.

“Ini adalah kali kedua saya berlakon di bawah arahan Osman dan saya memang seronok bila dapat melakonkan watak aksi di dalam drama bersiri ini,” katanya. – 21 Julai, 2024

Topics

 

Popular

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related