Nasib pekerja filem terbela, Profima harap semua warga industri sokong garis panduan baharu SPP

Profima berharap semua pihak yang terlibat di dalam industri perfileman dan kreatif negara akan menyokong sepenuhnya garis panduan baharu ini

9:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menyambut baik dan memberikan sokongan penuh terhadap pematuhan baharu Garis Panduan/Tatacara Permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) yang melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta ‘standard contract’.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Profima, Khalil Salleh berkata, hal ini membuktikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) benar-benar mengotakan janji demi menjaga kebajikan, jaminan keselamatan di tempat kerja, masa depan simpanan persaraan dan peningkatan kerjaya melalui Garis Panduan SPP ini.

“Profima rasa bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Finas khususnya Datuk Azmir Saifuddin selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pihak Perkeso, KWSP serta semua pihak yang bersama-sama merealisasikan permintaan kami ini.

“Apa yang kami minta ini adalah demi kebaikan dan masa depan sektor pekerja filem Malaysia. Segala yang dilaksanakan akan memberikan impak besar kepada kami sebagai pekerja belakang tabir.

“Seluruh sektor pekerja filem menyatakan kelegaan kerana kini nasib dan keselamatan mereka diberikan perhatian sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu kata Khalil, Profima berharap semua pihak yang terlibat di dalam industri perfileman dan kreatif negara, menyambut baik dan menyokong sepenuhnya Garis Panduan baharu SPP ini serta terus melaksanakannya kerana ia menguntungkan semua pihak dari pelbagai aspek.

“Caruman Perkeso pula akan memberikan penjimatan dan keselesaan kepada penerbit kerana isu keselamatan pekerja dapat dilindungi dengan kadar dan faedah yang baik dan menguntungkan.

“Caruman KWSP pula adalah tanggungjawab bersama bagi pekerja gig ini, kerana simpanan persaraan secara skim i-Saraan penting di masa depan,” katanya.

Khalil turut meminta pihak penerbit agar dapat menghormati garis panduan itu dan memberi peluang sehingga ia berjaya dilaksanakan demi memberikan kemudahan kepada pekerja filem terutama berkaitan amalan ‘standard contract’ yang dicadangkan pihak Finas.

“Pekerja sektor filem pula perlu bersama menggalakkan pihak pengurusan dan majikan (penerbit filem) mematuhinya supaya tidak ada yang tercicir sama ada yang terlibat projek skala kecil ataupun besar.

“Semoga pengumuman ini membuka lembaran baharu kepada landskap dunia perfileman Malaysia kerana dahulunya pembaharuan yang terdapat di dalam Garis Panduan SPP ini tidak pernah diletakkan di dalam pengurusan dan penguatkuasaan pihak kerajaan melalui Finas,” katanya.

Finas baru-baru ini mengumumkan pematuhan baharu kepada syarikat produksi tempatan melalui Garis Panduan/Tatacara Permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) yang melibatkan ‘standard contract’, Perkeso, KWSP serta Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda.

Ia turut merangkumi tiga syarat mengenai perkara-perkara yang dilibatkan di dalam Garis Panduan/Tatacara Permohonan SPP. – 21 Julai, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related