KUALA LUMPUR – Ahli keluarga Nur Farah Kartini Abdullah, menuntut seorang pengguna media sosial, Nor Fatihah Idris mengemukakan permohonan maaf susulan fitnah dilontarkannya kepada Allahyarhamah yang cukup mengguris perasaan mereka.
Abang Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Azmi, 28, berkata individu terbabit dituntut segera memohon maaf atau berdepan tindakan saman daripada keluarganya.
Katanya, keluarga menuntut individu itu tidak hanya membuat permohonan maaf secara umum, malah turut menghubunginya secara peribadi untuk tujuan berkenaan.
“Kami sekeluarga dalam perancangan untuk saman individu yang masih melontarkan kata-kata fitnah terhadap arwah Nur Farah Kartini, termasuk Nor Fatihah.
“Kalau dia (Nor Fatihah) tak minta maaf, saya akan saman.
“Saya nak dia sendiri yang minta maaf, saya nak dia contact (hubungi) saya secara personal (peribadi),” katanya kepada Scoop ketika dihubungi dalam nada kecewa dan marah.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kebenaran satu perkongsian status tular di media sosial dihantar seorang individu bernama Fikri yang menyatakan dirinya sebagai seorang daripada ahli keluarga Nur Farah Kartini dan meminta Nor Fatihah memohon maaf.
Mengesahkan Fikri sememangnya ahli keluarganya, Mohd Farizza Azmi turut memberi amaran kepada mana-mana individu, terutama netizen supaya berhenti bertindak mengeluarkan kata-kata tidak baik, tuduhan atau fitnah terhadap Nur Farah Kartini.

Menurutnya, keluarganya sudah tidak mampu berkompromi dengan tindakan melampau segelintir individu yang melemparkan kata-kata tidak baik berhubung kes menimpa adik bongsunya itu, malah akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu.
Dia berkata, masyarakat diminta memahami bahawa insiden menimpa satu-satunya anak perempuan daripada tujuh beradik itu adalah tragedi cukup menyayat hati dan memberi kesan sangat besar kepada keluarganya.
“Tolonglah jangan buat cerita, kami sekeluarga baru sahaja selesai mengebumikan arwah, baru lepas hilang adik kesayangan.
“Hentikan cerita yang bukan-bukan, harap faham dan hormat perasaan kami sekeluarga,” pintanya.
Terdahulu, Nor Fatihah Idris didakwa mengeluarkan fitnah di media sosial mengatakan kononnya Nur Farah Kartini hamil susulan hubungan dengan suspek dan lelaki itu enggan bertanggungjawab.
Susulan komen biadap itu, Fikri tampil bersuara dan meminta individu terbabit untuk membuat permohonan maaf.
Ujar Fikri, kenyataan tidak berasas itu cukup mengguris hati ahli keluarga mangsa.
“Saya adik ipar kepada abang mangsa. Mohon pertolongan untuk sampaikan kepada Nor Fatihah Idris buat permohonan maaf secara peribadi dan terus kepada abang serta keluarga mangsa…” katanya.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim,
Pada Isnin lalu, mayat wanita itu ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada kira-kira jam 6 petang dan dipercayai menjadi mangsa bunuh.
Susulan penemuan mayat itu, seorang lelaki yang juga kenalan mangsa dan bertugas sebagai anggota polis ditahan sebagai suspek kes pada hari sama.
Dia kemudian direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bermula 16 hingga 22 Julai dan tempoh itu akan disambung esok.
Jenazah Nur Farah Kartini Abdullah, dikebumikan pada Khamis lalu di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut memberi amaran supaya semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan melangkaui siasatan pihak berkuasa, berkait dengan mana-mana kes sedang disiasat.
Tegasnya, amaran itu termasuk membabitkan kes Nur Farah Kartini Abdullah pada 15 Julai lalu.
Kes wanita berusia 25 tahun itu, katanya, menyaksikan pelbagai spekulasi tidak benar dikeluarkan, sehingga menimbulkan kekeliruan. – 21 Julai, 2024