KUALA LUMPUR – Keluarga bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang meninggal dunia dipercayai dibunuh, memaklumkan jenazah wanita itu sudah dibenarkan dituntut.
Perkara itu disahkan abang Nur Farah Kartini, Mohammad Farizza Azmi, 28 ketika dihubungi Scoop.
“Sekarang jenazah sedang dimandikan (di Hospital Sungai Buloh) dan keluarga masih menunggu (untuk menuntut),” katanya.
Menerusi status WhatsApp kakak ipar mangsa, Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, pagi ini memaklumkan, jenazah Nur Farah Kartini dibenarkan dituntut keluarga selepas proses asid deoksiribonukleik (DNA) selesai.
Katanya, keputusan DNA mengesahkan mangsa adalah Nur Farah Kartini.
“Assalammualaikum semua. Result (keputusan) DNA baru sahaja keluar. Keputusan mengesahkan mangsa adalah Nur Farah Kartini.
“Kami (sekeluarga) dalam perjalanan ke Unit Forensik Sungai Buloh untuk proses tuntutan jenazah,” katanya.
Syeril Norsyuhada berkata, jenazah seterusnya akan dibawa ke Pekan, Pahang untuk urusan pengebumian.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah,” katanya.
Pada Isnin lalu, mayat Farah ditemui polis di ladang sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada kira-kira jam 6 petang.
Susulan penemuan itu, seorang anggota polis yang juga dipercayai kenalan mangsa, ditahan di Perak bagi membantu siasatan.
Lelaki berpangkat lans koperal itu direman tujuh hari hingga 22 Julai ini, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Farah dilaporkan hilang selepas dikatakan menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim – 18 Julai, 2024