KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan itu polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun, yang juga penjawat awam.
Siasatan, katanya direklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
‘Pemeriksaan awal, polis mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait report orang hilang di Tanjung Malim pada 11 Julai lalu,’’ katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Mohd Asri Mohd Yunus, suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu (KKB) esok pagi.
“Elok kita tunggu bedah siasat yang akan diadakan di Hospital Sungai Buloh esok,’’ katanya ketika dihubungi.
Farah yang juga bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim kira-kira jam 8 pagi pada 10 Julai lalu.
Kali terakhir dilihat, Farah yang berasal dari Sarawak itu memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam.
Kehilangannya mencetuskan kebimbangan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa, apatah lagi Farah disifatkan seorang pekerja yang komited dan tidak pernah mencetuskan apa-apa masalah sepanjang bekerja di syarikat perkhidmatan kereta sewa itu.
Malah abang Farah iaitu Mohammad Fariza Abdullah yang menetap di Kuala Lumpur, datang ke Tanjung Malim bersama isterinya bagi membuat laporan di Balai Polis Tanjung Malim bersama pihak pengurusan tempat adiknya bekerja.
Dalam pada itu, Mohammad Fariza ketika dihubungi Scoop berkata, beliau sudah dihubungi polis, namun masih menunggu pengesahan daripada pihak mereka.
“Saya dah dapat panggilan daripada polis tapi saya tidak boleh mengesahkan sama ada itu adik saya. Kena tunggu polis untuk sahkan,’’ katanya. – 15 Julai, 2024