Tidak boleh guna wang sumbangan bayar pempengaruh, promosi program tanpa izin penderma

Keizinan terbabit boleh diperoleh dengan cara pihak yang mengumpul sumbangan menyatakan secara jelas mengenai hasrat mereka kepada penderma

11:38 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengumpul sumbangan, sama ada mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan sebagainya, boleh menggunakan sebahagian daripada wang dikumpul itu bagi mempromosikan usaha atau program kutipan terbabit dengan syarat mendapat keizinan penderma.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan, keizinan itu boleh diperoleh dengan cara pihak yang mengumpul sumbangan atau derma menyatakan secara jelas mengenai hasrat mereka kepada penderma.

Katanya, pengumpul perlu menjelaskan sepenuhnya hasrat menggunakan peratusan tertentu daripada wang sumbangan itu, bagi membayar kos promosi dan pengiklanan.

“Sekiranya wang sudah dikumpulkan, pihak pengumpul dana perlu memaklumkan dan mendapat keizinan daripada semua penderma terlebih dahulu melalui pelbagai cara yang mampu dilakukan, sebelum menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk membayar kos pengiklanan.

“Segala penggunaan wang tersebut untuk tujuan lain tidak dibolehkan melainkan dengan meminta keizinan penderma, dengan cara sama ada melalui lisan ataupun uruf (pengetahuan terperinci).

“Dalam konteks isu ini, uruf di Malaysia mungkin memahami bahawa sejumlah kecil daripada duit sumbangan dikutip, akan digunakan untuk kos pengurusan oleh wakil, namun ia tidak meliputi kos untuk promosi,” katanya.

Kenyataan tu dikeluarkan sebagai menjawab soalan dikemukakan seorang individu yang bertanyakan mengenai hukum sebenar penggunaan sebahagian hasil kutipan digunakan untuk tujuan mempromosikannya.

“Baru-baru ini berlaku satu isu di mana sebuah pertubuhan yang melakukan kutipan derma untuk tujuan kebajikan, menggunakan sebahagian daripada hasil kutipan itu untuk mempromosikan lagi sumbangan tersebut.

“Ia dilakukan dengan membayar sebahagian wang itu kepada pihak lain seperti pempengaruh (influencer) atau syarikat pemasaran (marketing). Adakah perkara ini diharuskan?” soal individu terbabit.

Jelasnya, wang sumbangan orang ramai boleh dianggap sebagai wakalah, iaitu orang ramai yang menderma adalah pewakil (muwakkil).

Manakala, menurutnya, pihak yang mengutip sumbangan adalah wakil yang diwakilkan untuk menyampaikan sumbangan terbabit kepada penerima, seperti sudah diluluskan.

Kebiasaannya, kutipan sumbangan itu, katanya, dilakukan untuk tujuan khusus, seperti diberikan kepada penduduk ditindas di Palestin, membantu orang susah, pembinaan masjid atau madrasah.

“Dalam bab wakalah, seseorang wakil tidak boleh melakukan sesuatu dengan duit diwakilkan kepadanya, melainkan dengan izin daripada pewakil, iaitu penderma.

“Oleh itu, sebarang penggunaan duit sumbangan perlu mendapat keizinan daripada penderma terlebih dahulu, melainkan untuk perkara yang sudah diterima secara uruf seperti penggunaan untuk kos pengurusan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan bahawa perkara itu turut bertepatan dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke 137/2022 pada 2022 yang memutuskan beberapa keputusan.

Keputusan itu, katanya, termasuk jumlah dana digunakan bagi tujuan promosi itu perlu sekadar keperluan, di samping memastikan wang terbabit digunakan dengan cermat dan memberi kebaikan kepada penderma.

Wakil yang mengutip sumbangan itu juga, ujarnya, dinasihat menggunakan wang kutipan berkenaan dengan cermat dan tidak berlebihan untuk promosi.

“Ini supaya sumbangan tersebut dapat disampaikan secara maksimum kepada pihak yang betul-betul memerlukan,” katanya. – 15 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related