KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menasihatkan orang ramai jangan terpedaya dengan taktik digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup meniru nama, suara dan wajah beliau untuk menipu pengguna di media sosial.
Nasihat dan pendedahan itu dibuat Siti Nurhaliza menerusi Instagram hari ini, dengan memperincikan modus operandi pelaku terbabit yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi perkongsiannya, penyanyi itu memaklumkan, scammer terbabit akan menghantar mesej kepada individu dan memberitahu penerima bahawa diri mereka bertuah dan layak menyertai pertandingan yang menawarkan hadiah, termasuk wang tunai.
Ujarnya, scammer itu kemudian menghubungi individu terbabit menggunakan panggilan video dan menggunakan suara ditukar seperti beliau untuk menipu bagi memberi maklumat lanjut.
Kemudian, Siti Nurhaliza berkata, scammer itu akan meminta individu memasukkan wang sebagai ‘syarat’ untuk menebus hadiah atau wang daripada pihak beliau.
“Palsu! Jangan percaya scammer. Ini adalah salah satu contoh kes cubaan menipu menggunakan nama, akaun media sosial yang ada nama serta gambar saya, siap letak suara Al untuk yakinkan orang ramai dan selebihnya, (mereka) ambil mana-mana video live saya dengan tujuan nak perangkap supaya orang percaya.
“Tolong sampaikan, sebarkan, nasihat dan maklumkan kepada kaum keluarga, sahabat handai serta rakan anda bahawa saya tidak pernah membuat pertandingan atau dengan tujuan memberi wang tunai kepada sesiapa, selain jangan terpedaya apabila menerima mesej, video call dan sebagainya,” katanya.
Malah, Siti Nurhaliza yang kesal dengan perkara itu berkata, sudah banyak kes penipuan menggunakan nama beliau dan beroperasi sekian lama dilaporkan.
“Saya sangat berharap agar semua pihak berhati-hati kerana scammer ini, mencari sasaran orang yang berusia (warga emas) untuk mempedaya dengan tawaran hadiah wang tunal.
“Mereka sebenarnya penipu! scammer! – 14 Julai, 2024