Keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat bukan didorong kerajaan: Mohamed Khaled

Khamis lepas, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu selepas mengkaji semua perkara

2:27 PM MYT

 

MACHANG – Keputusan mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Parlimen Bersatu oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tidak didorong oleh mana-mana pihak, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan itu sebaliknya menjelaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan kuasa yang dimilikinya, selain institusi Parlimen tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. 

“Pembangkang berhak menyuarakan pandangan mereka, tetapi pada masa sama perlu memahami keputusan yang dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Bersatu yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini malam tadi.

Khamis lepas Johari memaklumkan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu selepas mengkaji semua perkara dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee melalui sepucuk surat bertarikh 9 Julai.

Pada 20 Jun lepas, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – 13 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

DAP not elitist: Zairil defends working-class commitment despite being in federal govt

Penang DAP vice-chairman says the party remains dedicated to social justice, pro-worker policies

Related