Selamba memandu kereta lawan arus, lelaki diberkas polis

Tindakan pemandu itu dianggap bukan sahaja mencetuskan panik, malah membahayakan keselamatan pengguna laluan sama

10:15 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan sudah menahan pemandu sebuah kereta yang dipandu secara melawan arah trafik di Jalan Ayer Hitam Kluang, Batu Pahat, baru-baru ini sehingga video kejadian itu tular.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kereta dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun itu turut ditahan.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu terbabit tidak mengandungi sebarang jenis dadah.

“Pada 6 Julai lalu kira-kira jam 5 petang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Batu Pahat mengesan satu rakaman video berdurasi 30 saat di media sosial yang memaparkan, sebuah kereta dipandu secara melawan arah trafik dipercayai berlaku di Jalan Ayer Hitam Kluang, Batu Pahat.

“Bertindak melalui siasatan dan tindakan lanjut pihak polis berdasarkan paparan dalam rakaman video berkenaan, keesokannya pada kira-kira jam 3 petang, sepasukan polis dari BSPT Daerah Batu Pahat berjaya mengenal pasti, mengesan dan menahan pemandu terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, siasatan dijalankan polis mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

“Dalam hal sabitan kali kedua atau kali kemudian, penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000, selain tidak lebih daripada RM20,000 boleh dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa peka serta mematuhi tanda isyarat serta peraturan ditetapkan, bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

“Amalkan cara pemanduan berhemah dan selamat serta sentiasa memastikan keadaan mental dan fizikal dalam keadaan baik sebelum serta semasa memandu.

“Elakkan memandu melulu atau dengan kelajuan (melepasi had ditetapkan), malah dengan cara yang memandang kepada segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan, luas jalan dan kesesakan lalu lintas semasa atau mungkin berlaku di jalan itu) adalah merbahaya kepada keselamatan awam,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi beberapa saat memaparkan tindakan ‘gila’ pemandu sebuah kenderaan memandu di laluan jalan raya melawan arah trafik.

Kereta itu awalnya dipandu di laluan asal, sebelum tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

Situasi itu mencetuskan kekecohan dalam kalangan netizen, dengan rata-rata mengecamnya.

Tindakan pemandu itu dianggap bukan sahaja mencetuskan panik, malah membahayakan keselamatan pengguna laluan sama apabila ia hampir bertembung dengan kenderaan lain, termasuk sebuah kereta yang keluar dari simpang. – 13 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related