Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini, yang tak faham… : Muhyiddin

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya, maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan tindakannya mempertikaikan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi Parlimen enam wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Presiden Bersatu itu berkata, beliau benar-benar memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menemplak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebenarnya tidak faham soal berkenaan.

“Anwar kata saya baca sebahagian saja daripada perlembagaan. Saya nak tanya Anwar bahagian mana yang saya tak baca tu?

“Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya, maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan.

“Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar yang menegaskan keputusan Johari mengenai status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu itu dibuat berlandaskan undang-undang.

Susulan itu, Anwar meminta Muhyiddin sepatutnya membaca tafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan berhubung akta anti lompat secara keseluruhan, dan bukan diambil sebahagiannya sahaja.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selaras dengan peruntukan itu, Bersatu membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan di mana wakil rakyat parti itu terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Katanya, antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka ialah supaya menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka.

“Kalau mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai ahli parlimen. Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

“Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan,” katanya.

Susulan itu, katanya, keahlian mereka terhenti serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

“Maka berlakulah kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – 11 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related