PRK Nenggiri: PN dijangka guna strategi Sungai Bakap

Kerajaan Perpaduan dinasihati 'menapis' pemimpin PH yang mahu berkempen kerana penduduk Kelantan tampak kurang menyenangi Kerajaan Persekutuan, malah mereka perlu menyelaraskan kandungan ceramah agar apa yang mahu disampaikan lebih jelas

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka terus ‘mendendangkan’ isu BlackRock dan penyasaran subsidi diesel dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan suslan kemenangan atas isu yang sama ketika berkempen di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Penganalisis Sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, biarpun isu nasional dilihat tidak wajar dimainkan namun ia strategi untuk ‘memancing’ undi.

“Tidak dinafikan isu kenaikan harga diesel dan BlackRock menjadi kekuatan PN dalam ceramah mereka di PRK Sungai Bakap tempoh hari tetapi isu ini tidak diberikan pencerahan dan penjelasan menyeluruh kepada penduduk (memainkan sentimen mengelirukan pengundi).

“Isu BlackRock misalnya, ketika PN berkuasa mereka juga terlibat dalam kelulusan dan tidak menghalang penglibatan BlackRock dalam perdagangan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.

Awang Azman berkata, mendepani dua isu tersebut, Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika PRK Sungai Bakap bagi mengelak pengundi mereka beralih arah.

Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, biarpun isu nasional tidak wajar dimainkan, namun ia nyata strategi berkesan dan kekuatan PN dalam ceramah mereka di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang. – Gambar FB Awang Azman, 10 Julai, 2024

“Jadi untuk elak undi penyokong hilang, saya berpendapat dari segi kempen mereka (Kerajaan Perpaduan) perlu selaraskan isi kandungan ceramah yang ingin disampaikan agar penjelasan lebih baik (dan mudah difahami penduduk) dapat diberikan, daripada yang berlaku ketika di Sungai Bakap,” katanya.

Mengulas isu sama, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan membenarkan apa yang dikatakan Pengarah PRK DUN Nenggiri yang juga Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurutnya, mana-mana pemimpin dalam kalangan PH dan BN yang mahu turun padang berkempen di Nenggiri perlu ditapis kerana sentimen penduduk di Kelantan ketika ini tidak begitu memihak kepada Kerajaan Perpaduan.

“Untuk elak undi terus hilang ini, saya ambil saranan dua pemimpin Umno itu yang mengatakan, orang (pemimpin politik) yang (turun) berkempen itu mesti ditapis terutama sekali daripada PH.

“Pada saya, semua perlu terap persepsi bahawa PRK Nenggiri ini merupakan pertembungan di antara Umno dan PAS, bukan Kerajaan Persekutuan.

“Jadi seboleh-bolehnya masa berkempen, orang PH tidak benarkan untuk berkempen kerana menerusi pemerhatian, penduduk di Kelantan mereka tidak suka (Kerajaan Persekutuan), kalau boleh dielakkan penglibatan orang politik yang berkait dengan Kerajaan Persekutuan (untuk turun berkempen bagi calon),” katanya.

Profesor Madya Azmi Hassan pula menasihati Kerajaan Perpaduan agar menapis mana-mana pemimpin PH atau BN yang mahu turun berkempen di Nenggiri kerana sentimen penduduk di Kelantan ketika ini tidak begitu memihak kepada mereka. – Gambar Bernama, 10 Julai, 2024

Scoop sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi terbabit.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang. – 10 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Related