KUALA LUMPUR – Dakwaan Tan Sri Noh Omar akan mengancam kedudukan pemimpin parti Bersatu terutama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi Bersatu Selangor hanya cubaan ‘cucuk’ politik dalam kalangan pemimpin Umno.
Sebaliknya, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris ketika dihubungi Scoop berkata, Noh, yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, masih tidak layak untuk bertanding apa-apa jawatan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam perlembagaan parti Bersatu.
“Apa masalah dia (pemimpin Umno) kalau Noh Omar nak bertanding? Untuk bertanding, parti ada syarat dan dia baru menjadi ahli justeru masih tidak boleh bertanding, malah kalau nak bertanding ketua bahagian pun ada syaratnya.
“Di Tanjung Karang, anak Noh iaitu Nurul Syazwani sudah menjadi Ketua Bahagian Penaja Bersatu, jadi apa masalahnya.
“Orang nak cucuk sahaja dan sebenarnya orang Umno yang ‘geli’ dan takut dengan Noh Omar kerana dia adalah tokoh yang tidak ada isu, tiada kes, hanya dibuang Umno sahaja,’’ katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.
Noh mengumumkan menyertai Bersatu selepas dipecat Umno tahun lalu kerana melanggar disiplin parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau memohon untuk menyertai Bersatu secara dalam talian dengan mengisi borang dan terus diterima.

Berdasarkan Perlembagaan Bersatu, calon-calon yang ingin bertanding jawatan Pengerusi, Presiden atau Timbalan Presiden mesti menjadi ahli parti tidak kurang tiga tahun.
Bagi jawatan lain pula, calon-calon perlu menjadi ahli tidak kurang dari 12 bulan.
Ditanya sama ada lebih ramai pemimpin Umno akan mengikut jejak Noh, Razali berkata, Parlimen Tanjong Karang kini sudah menjadi kubu Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Di Tanjong Karang tinggal Datuk Zulkafperi Hanapi seorang diri sahaja, yang lain tidak ikut dia. Tanjong Karang tu tunggu pilihan raya sajalah, sebab itu kita nak pilihan raya kecil cepat,” katanya.
Pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden dijangka menjadi tumpuan pada pemilihan Bersatu Oktober ini selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan mengekalkan kedudukannya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dikatakan akan mencabar Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, penyandang sejak 2020 selepas Hamzah dibenarkan bertanding mengikut Fasal 14.14 dan 14.16 walaupun sebelum ini beliau tidak layak bertanding lima jawatan utama atau ‘top 5’ kerana belum cukup dua penggal sebagai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). – 7 Julai, 2024