Arwah Mansor Puteh pejuang seni tulen, tak pernah lelah cari dana siapkan filem Malaysian Snow: Nasir Jani

Ketika mereka sama-sama menuntut di ITM, Mansor dianggap sebagai individu yang memandang jauh ke depan, sehingga sukar untuk menyaingi idea dan ideologinya

5:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah filem, penulis dan pelakon, Nasir Jani mendedahkan Allahyarham Mansor Puteh adalah pejuang seni tulen kerana tidak pernah lelah mencari dana selama berbelas tahun, bagi menyiapkan pembikinan filem keduanya, Malaysian Snow.

Ketika dihubungi Scoop, Nasir berkata, arwah melakukan bermacam cara untuk mendapatkan dana itu, termasuk meminta geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) serta geran pinjaman, namun gagal.

“Disebabkan dia adalah Mansor Puteh, dana dan geram pinjaman yang dia minta untuk filem keduanya itu tidak diluluskan.

“Dia seorang yang berpegang teguh kepada prinsipnya, mempunyai pemikiran terlalu jauh ke depan serta cukup lantang menyuarakan kepincangan atau ketidakadilan. Dia juga memang cukup menentang keras rasuah serta nepostime.

“Atas sebab-sebab itulah, dia tidak begitu disukai ramai orang,” katanya.

Menurut Nasir, dia mengenali arwah Mansor sejak mereka sama-sama belajar dan mengambil jurusan Komunikasi Massa di Institut Teknologi Mara (sekarang dikenali sebagai UiTM).

“Kami adalah bacth (kumpulan) ketiga ITM pada tahun 1974 hingga 1977. Pada tahun terakhir, kami sama-sama mengambil advertising (pengiklanan) sebagai subjek major. Ketika itu lagi, dia dianggap sebagai individu yang memandang jauh ke depan, sehingga sukar untuk menyaingi idea dan ideologinya.

“Bayangkan, sebagai seorang pelajar ketika itu, dia sudah memiliki kamera dan gemar mengambil gambar sebagai jejak rakaman untuk dijadikan simpanan arkib. Pada zaman itu, pelajar yang memiliki kamera sendiri dianggap hebat dan dia adalah seorang daripadanya. Bermacam gambar diambil menggunakan kameranya.

“Sebelum meninggal dunia, arwah pernah memberitahu saya bahawa dia mahu terbitkan buku bergambar mengenai suasana dan keadaan ITM serta Shah Alam pada era 1970-an dalam bentuk hitam putih.

“Bahkan, saya sudah melihat arkib gambarnya. Ia memang sangat berharga kerana Shah Alam pada ketika itu, hanya ada ITM dan Istana Kayangan dan selebihnya tanah kosong serta dipenuhi kelapa sawit,” katanya.

Mansor Puteh (kanan) bergambar bersama adiknya ketika melawat kakak mereka di Australia. – Gambar Instagram Mansor Puteh, 7 Julai, 2024

Jelas Nasir, arwah juga seorang yang banyak membaca, pandai melukis, boleh bermain alat muzik keyboard, selain cukup menepati janji dan waktu.

“Kalau kita jumpa dia di kafe atau restoran, dia sudah pun menunggu sambil membaca buku. Dia memang sentiasa dengan bukunya. Dia juga pernah membuat pameran lukisan dan fotonya di Galeri Seni Kebangsaaan.

“Seperkara yang menarik juga, waktu saya dijemput Japan Foundation di Tokyo pada 1990 untuk menayangkan filem Kembara Seniman Jalanan dan Anwardi Jamil dengan filem Tuah, filem pertama arwah iaitu Seman sudah ditayangkan dua, tiga tahun sebelum itu.

“Bahkan, di pejabat Japan Foundation di Tokyo ada menggantung poster filem Seman. Poster itu berbentuk lukisan dilukis sendiri arwah,” katanya.

Bagaimanapun, Nasir tidak tahu sama sekali mengapa sehingga ke hujung hayatnya, Mansor Puteh tidak berkahwin dan memilih hidup membujang.

“Walaupun kami berkawan, tapi saya tidak pernah tanya. Tapi, kehilangan Mansor Puteh benar-benar membuatkan saya sedih seperti mana saya kehilangan Pyan Habib. Bagi saya Mansor adalah real fighter (pejuang sebenar),” katanya.

Mansor Puteh, 70, meninggal dunia kerana parah di kepala akibat nahas jalan raya di Alam Damai, Cheras pada jam 10.10 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Sarifuddin Mohd Salleh berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa hilang kawalan sebelum kereta Proton Iswaranya melanggar pembahagi jalan. – 7 Julai, 2024

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related