KUALA LUMPUR — Jangan beri pilihan kepada pembeli sebaliknya haramkan terus penggunaan plastik di kedai-kedai, dalam usaha memelihara bumi.
Itu pandangan rata-rata masyarakat terhadap penggunaan beg plastik dalam tinjauan oleh Scoop di ibu kota.
Kebanyakannya berpendapat, disebabkan ada kedai yang memberi pilihan kepada pengguna untuk memiliki beg plastik meskipun terpaksa membayar 20 sen, ia menyebabkan pembeli leka dan tidak membawa beg.

Salah seorang yang ditemui ialah Muhd Nooridzwan Mansur, 21, yang meminta kerajaan supaya bertegas dalam melaksanakan dasar-dasar menghentikan penggunaan beg plastik.
“Ada perlunya kerajaan melaksanakan perubahan secara berfasa, tetapi jika tidak tegas, tiada gunanya,’’ katanya ketika ditemui Scoop hari ini.
Nooridzwan yang juga pekerja di kedai menjual pakaian berkata, menerusi pengalamannya ramai pelanggan yang tidak lagi mengambil beg plastik walaupun diberikan secara percuma.
“Orang ramai sudah lama sedar akan masalah penggunaan beg plastik yang tidak elok untuk alam sekitar. Hanya apabila terpaksa seperti membeli barang dalam kuantiti yang banyak, barulah mereka memilih untuk menggunakan beg plastik.

“Kesedaran itu sudah lama ada sebenarnya, tapi disebabkan ada pilihan untuk gunakan plastik, jadi tidak semua orang rasa ada keperluan untuk menghentikan penggunaan,” katanya.
Fatimah Samsudin, 40, pekerja di sebuah syarikat swasta pula berkata jika orang ramai masih diberikan pilihan sudah pasti akan ada yang mahu menggunakan beg plastik sekali gus menggagalkan matlamat sifar plastik.
Berdasarkan pengalamannya yang pernah menetap di luar negara, Fatimah berkata amalan membawa beg kitar semula sudah lama dipraktikkan dan menjadi perkara biasa di sana.
“Kalau di luar negara mampu untuk lakukan sejak sekian lama, kita juga mampu ikut. Buah-buahan dan sayur pun mereka gunakan kertas untuk bungkus, jadi sebenarnya boleh sahaja dilakukan di negara ini,’’ katanya.
Manakala Zarnirah Zulkifly, 31, yang juga seorang pekerja di sebuah syarikat swasta berkata penggunaan beg plastik boleh dikurangkan dengan adanya alternatif yang lebih senang diperolehi.

“Sudah dua tahun saya mula menggunakan beg kitar semula dan untuk kawasan bandar biasanya tiada masalah. Kebanyakan kedai dan pasar raya di bandar menyediakan kemudahan untuk penggunaan beg kitar semula.
“Namun situasi berbeza kalau di kampung kerana pilihan untuk menggunakan beg kitar semula sangat terhad dan kebanyakan kedai masih bergantung kepada beg plastik,’’ katanya.
Justeru, Zarnirah berkata pasar raya boleh menjual beg kitar semula pada harga yang lebih rendah bukannya RM5 ke atas seperti yang dijual di beberapa tempat.
“Ada juga tempat yang beri dua pilihan sama ada bayar untuk beg plastik atau beg kitar semula namun disebabkan harga beg kitar semula lebih mahal sudah tentu orang menggunakan beg plastik,” katanya.
Senada dengan Zarnirah adalah Aujie Mohd Ayup, 23, yang meminta tempoh masa diberikan kepada orang ramai untuk beralih daripada penggunaan plastik.

“Kerajaan juga perlu banyakkan kempen kesedaran dan promosi untuk mengurangkan penggunaan plastik secara berperingkat,” katanya.
Sementara seorang akauntan, Izzah Nadira, 25, berkata pembungkus makanan di premis makanan juga perlu bertukar kepada bahan yang boleh dikitar semula.
“Saya sendiri lebih selesa menggunakan bekas yang saya bawa untuk mengisi makanan, daripada hanya bergantung kepada pembungkus makanan di kedai,” katanya. – 12 Julai, 2024