Noh dibawa masuk sertai Bersatu untuk jatuhkan Azmin: PKR Selangor

Kehadiran Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dalam Bersatu akan mencetuskan polemik perebutan kuasa yang akan menambah kemelut parti itu terutama di Selangor

6:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – PKR Selangor mendakwa tindakan membawa masuk Tan Sri Noh Omar menyertai Bersatu adalah untuk memperkukuhkan kedudukan pimpinan utama parti yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan Bersatu Oktober ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kehadiran Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dalam Bersatu akan mencetuskan polemik perebutan kuasa yang akan menambah kemelut parti itu terutama di Selangor.

Menurutnya, seperti diketahui umum Azmin yang juga Pengerusi Bersatu Selangor tidak mempunyai hubungan politik yang baik dengan Noh, selain pernah menggelar mantan Ahli Parlimen Tanjung Karang itu sebagai ’Noh Udang’ sebelum menjadi sensasi di media sosial.

“PKR Selangor melihat ini sebagai satu lagi episod pertembungan terbuka Bersatu Selangor selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyatakan bahawa Azmin seorang pembuli.

“Sikap Azmin itu menjadi salah satu sebab beliau menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang membawa kepada pemberhentian keanggotaan beliau dalam Bersatu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau yang juga Pengarah Strategi PKR Selangor berkata, kemelut kepimpinan Bersatu Selangor akan terus menjadi perhatian dan yakin Azmin akan turut menerima nasib sama seperti Rashid dengan penyertaan Noh dalam parti itu.

“Namun, sikap Azmin Ali yang boleh diibaratkan sebagai “agung susut, pongah masih” ini adalah satu kelebihan kepada lawan politiknya.

“PKR Selangor yakin percakaran sesama sendiri Bersatu Selangor ini akan terus membongkar wajah sebenar parti itu yang begitu tamakkan kuasa semenjak Langkah Sheraton lagi,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin dalam nada sinis mengucapkan tahniah kepada ahli Bersatu Selangor di atas penyertaan Noh.

“Buat anggota Bersatu Selangor, ’tahniah’ diucapkan. Perginya Datuk Rashid yang merupakan antara pendiri awal Bersatu diganti Noh Omar, mantan Pengerusi Umno Selangor.

“Moga moga kalian semua tidak terhambat dek sikap pembuli Azmin,” katanya.

Semalam, Noh secara rasminya mengumumkan beliau menyertai Bersatu.

Noh dilaporkan berkata, keputusan untuk menyertai Bersatu agak berat dan mengambil masa lebih setengah tahun memutuskannya kerana mengingati pesanan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebelum ini.

Namun, beliau memutuskan menyertai Bersatu semalam selepas kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin menolak permohonan Najib, bagi memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan, dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani tahanan di rumah. – 5 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Related