KUALA LUMPUR – Adakah Peguam Negara akan mengambil tindakan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan naibnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di bawah Akta Hasutan?
Itu persoalan dilontarkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum (perintah tambahan) Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Beliau berkata, keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa afidavit Ahmad Zahid dan Wan Rosdy cuma hearsay (keterangan dengar cakap), bermakna Presiden dan Naib Presiden Umno itu membawa khabar angin.
“Kerajaan Perpaduan wajar membersihkan namanya kerana PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru sahaja membangkitkan isu politik kebencian yang dikaitkan dengan hearsay.
“Tetapi ahli Umno sudah tentu akan mempertahankan Ahmad Zahid dan Wan Rosdy kerana Peguam Negara serta kerajaan, tidak pernah menafikan wujudnya Titah Adendum tersebut,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, Najib gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi bagi mencabar kewujudan Titah Adendum yang dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.
Hakim Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati, semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan itu, termasuk afidavit Ahmad Zahid dan Wan Rosdy berkenaan, sekadar khabar angin.
Susulan keputusan itu, Umno Kedah menggesa Kerajaan Perpaduan menyatakan pendirian mengenai kewujudkan surat Titah Adendum, memandangkan ia penting bagi memastikan hak Najib sebagai warganegara mendapat keadilan.
Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin pada masa sama berkata, Umno Kedah dukacita dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran untuk Najib menyemak kehakiman mencabar kewujudan titah berkenaan.
Najib, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 1 April lalu, dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Najib, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan hukuman penjara Najib, dipendekkan dari 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 4 Julai, 2024