KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini, menyentuh pelbagai aspek mengenai status pencapaian sektor kerajaan, termasuk berkaitan sembilan pengauditan membabitkan 11 kementerian.
Pengauditan itu merangkumi kos keseluruhan program, projek atau aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, pengauditan itu adalah mengenai aktiviti kementerian, jabatan serta badan berkanun Persekutuan, dengan skop pengauditan meliputi projek dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.
Menurutnya, tiga isu signifikan dibangkitkan dalam laporan itu, membabitkan kelemahan projek kerajaan termasuk pengurusan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL).
Isu terbabit dibangkitkan di bawah tajuk LKAN 2/2024 Mengenai Aktiviti Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan.
Dua lagi isu signifikan dibangkitkan itu adalah mengenai pengurusan program Pemerkasaan Jaringan dan Infrastruktur Telekomunikasi Jalur Lebar serta pengurusan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer).
“Pengauditan laporan ini mengesan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan memaklumkan, situasi terbabit berpunca daripada pelbagai faktor, seperti kurang pemantauan dan penyeliaan pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data lengkap serta kelemahan dalam polisi dan prosedur kerja.
“Kelemahan ini menyebabkan program, aktiviti dan projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat serta kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang dibelanjakan,” katanya.
Wan Suraya berkata, dalam lampiran dinyatakan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat projek RoL tidak akan berjaya disiapkan tahun ini kerana sehingga Julai 2023, sebanyak 12 projek masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan projek dalam pelaksanaan dan kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek selepas ditamatkan kontrak.
Antara lain, katanya, lampiran itu menyebut semua objektif RoL belum dicapai, terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke Kelas IIB, iaitu bagi tujuan rekreasi, selain kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan yang menyebabkan peningkatan kos dianggarkan RM234.72 juta.
Malah, katanya, kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2 kilometer Sungai Gombak.
Berhubung pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar pula, ujarnya, lampiran itu memaklumkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan Internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar menerusi peruntukan kewangan kerajaan, belum tercapai sepenuhnya.
Jelasnya, sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan, antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.
“Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan.
“Sebanyak 337 daripada 597 sampel sekolah masih menggunakan teknologi jalur lebar (broadband) atau satelit dengan kelajuan yang terhad walaupun teknologi fiber telah disediakan di bawah projek Point of Presence (PoP) Fasa 1,” katanya.
Mengenai pengurusan projek dan program di bawah Ecer, lampiran itu memaklumkan sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.
“Terdapat juga infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011,” menurut laporan itu.
LKAN 2/2024 dibentang di Dewan Rakyat selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ia membabitkan dua naskhah, iaitu aktiviti kementerian, jabatan kerajaan Persekutuan dan badan berkanun Persekutuan serta pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan. – 4 Julai, 2024