Sg Bakap: Undi kaum India boleh bantu kemenangan calon PH

Pada PRN lalu terdapat boikot dalam kalangan pengundi India terhadap calon PH, namun mereka yang mewakili 17% daripada keseluruhan 30,000 pengundi dijangka keluar mengundi kali ini

10:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Berbaki dua hari sebelum hari pengundian, Sabtu ini, peluang bagi kedua-dua calon mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah seimbang.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali ketika dihubungi Scoop menjangkakan kemenangan majoriti yang tipis akan membezakan antara kedua-dua calon terbabit.

Namun katanya, jika ada pun sedikit kelebihan adalah kepada calon PH, Joohari Ariffin, yang boleh memudahkan penyaluran bantuan antara kerajaan negeri dan Pusat kepada rakyat di kawasan itu.

“Saya melihat peluang 50-50 bagi kedua-dua calon, cuma sedikit sahaja kelebihan bagi PH iaitu kedudukan gabungan itu yang menguasai Pulau Pinang malah di peringkat Persekutuan akan memudahkan bantuan untuk rakyat.

“Pada masa sama pengaruh Umno yang semakin pulih akan menambah lagi beban PAS untuk mengekalkan kerusi itu,” katanya kepada Scoop.

Penganalisis politik dari UTM, Profesor Madya Mazlan Ali menjangkakan peluang kedua-dua calon adalah 50-50, dan sesiapa yang menang akan meraih majoriti tipis. – Gambar Bernama, 3 Julai, 2024

Selain itu beliau berkata, undi masyarakat India mewakili 17% daripada keseluruhan 30,000 pengundi juga dijangka boleh membantu kemenangan calon PH.

“Pada PRN lalu terdapat boikot kalangan pengundi India terhadap calon PH, namun kali ini ada jaminan bahawa mereka akan keluar mengundi calon kerajaan, kerana sedar kalau undi kepada pembangkang lagi susah, nak dapat bantuan lagi tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata, bagi PN, peluang untuk mereka mempertahankan kerusi masih terbuka terutama sekiranya dapat mengekalkan sokongan Melayu terutama kemenangan di tiga peti undi penting iaitu Sungai Duri, Kampung Besar dan Padang Lalang.

“Mereka menang besar di tiga PDM ini yang majoritinya pengundi Melayu ketika PRN lalu dan tidak nampak akan ada perubahan untuk PRK kali ini.

“Tapi kita lihat semangat Umno dalam membantu kempen calon PH, jadi ini ada beri sedikit kelebihan untuk ‘swing’ undi di kawasan Melayu kepada calon PH,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kemenangan calon akan ditentukan kepada kemampuan parti untuk menarik pengundi keluar mengundi.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa UUM, Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani percaya, parti yang mampu menarik keluar lebih ramai pengundi mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK Sungai Bakap. – Gambar Bernama, 3 Julai, 2024

“Keadaan sehingga kini memasuki tempoh-tempoh akhir kempen saya lihat masih 50-50, kedua-dua calon ada peluang yang seimbang untuk menang PRK ini.

“Apa pun keputusan dijangka bergantung kepada peratusan keluar mengundi, kalau parti berjaya bawa balik pengundi luar seramai mungkin, pengundi muda keluar mengundi, mungkin beri kelebihan kepada parti berkenaan.

“Hari mengundi pun cuti, saya jangkakan peratusan keluar sekitar 60 hingga 65%, sebab kita tidak boleh berharap peratusan tinggi kerana ini PRK, trend biasanya akan menurun,” katanya.

Selain itu katanya, berdasarkan pemerhatian, pengundi Sungai Bakap lebih cenderung kepada pihak yang boleh membantu menyelesaikan masalah isu setempat berbanding nasional.

“Isu tempatan lebih mendominasi isu nasional, penduduk mahukan situasi kehidupan mereka lebih baik, isu jalan, bekalan air dan pertanian.

“Jadi, ramai pengundi di Sungai Bakap akan melihat kepada faktor itu untuk mereka beri undi,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Joohari dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail. – 4 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related