Pembunuh bayi ‘Zara’ kekal ke tali gantung, rayuan akhir ditolak

Kes berkenaan menepati kehendak ‘kes paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan

4:10 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut yang membunuh seorang bayi perempuan dikenali ‘Zara’, sehingga mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian vagina akibat serangan seksual, enam tahun lepas.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Rhodzariah Bujang selepas menolak rayuan akhir perayu Hazmi Majid, 42, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

“Sabitan dan hukuman (gantung sampai mati) adalah selamat. Mahkamah ini mengekalkan hukuman sepertimana diputuskan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Rhodzariah yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Terdahulu, peguam T. Vijayandran yang mewakili perayu berhujah anak guamnya tidak sedar perbuatan tersebut kerana di bawah pengaruh dadah, selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi berkata, rayuan bahawa Hazmi di bawah pengaruh dadah wajar ditolak, berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku.

Tetralina berkata, kes berkenaan menepati kehendak ‘kes paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

“Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada hari kejadian pada pukul 6.45 pagi dan nazak 1.30 tengah hari. Bayi itu hanya seberat 8.26 kilogram, gigi pun belum tumbuh manakala pendarahan teruk pada otak menyebabkan peluangnya untuk hidup amat tipis,” katanya.

Tetralina berkata, keterangan pendakwaan menyatakan perayu tidak pernah membantu isterinya, namun pada hari tersebut dia menawarkan diri memandikan mangsa.

Hazmi yang merupakan suami kepada pengasuh mangsa didapati bersalah atas dakwaan membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 7 November 2018.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabitkan kesalahan.

Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 terhadap lelaki itu.

Selain kes bunuh, pada 2019 Hazmi turut dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, atas dua pertuduhan seksual memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur bayi itu.

Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal. – 2 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related