KUALA LUMPUR — Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menyiasat tuduhan rasuah mengaitkan namanya dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Bercakap kepada Scoop, beliau berkata, laporan polis mengenai fitnah itu sudah dibuat, namun beliau enggan memberikan maklum balas ketika ditanya sama ada pihaknya turut membuat laporan berkenaan.
“Laporan polis sudah ada. Biar polis siasat siapa yang buat fitnah ini,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas mengenai satu hantaran di Facebook yang memetik nama Pemangku Sultan Johor itu dalam tuduhan rasuah.
Dalam hal tersebut, Ketua Polis Johor, M. Kumar berkata, laporan mengenai hantaran tersebut dibuat di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada jam 4.05 petang semalam.
Hantaran itu mendakwa Tunku Mahkota menyatakan bahawa Mohamad Zamri meminta rasuah berjumlah RM20 juta daripada Qatar Holdings, pada 28 Januari tahun lepas.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri mengecam kenyataan fitnah yang dilemparkan tersebut.
Beliau berkata, dakwaan fitnah yang tular itu adalah hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja. – 30 Jun, 2024