Pesawat ringan kendalian Kelab Penerbangan Subang mendarat cemas dekat Pelabuhan Klang

Pesawat dipercayai mengalami kegagalan mekanikal iaitu enjin gagal berfungsi semasa di udara sebelum jurulatih membuat pendaratan cemas

5:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebuah pesawat ringan Piper PA-28-161 dengan pendaftaran 9M-ANA dikendalikan Kelab Penerbangan Subang telah melakukan pendaratan cemas di satu kawasan lapang dekat Pelabuhan Klang, Selangor.

Menara Kawalan Subang menerima panggilan Mayday pada jam 2.58 petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud berkata, pesawat yang dinaiki dua orang individu itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 2.50 petang.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan pada jam 3.10 petang setelah menerima maklumat bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, siasatan akan dilaksanakan di bawah Bahagian XXIII Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Klang Utara, S. Vijaya Rao ketika dihubungi Scoop memberitahu, kedua-dua individu di dalam pesawat itu selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Katanya, pesawat itu dikendalikan juruterbang, Rolando Barba Jr, 57, dan pelatih juruterbang, Muhammad Ridz Farhan Ridzwan, 22.

Menurut polis, siasatan awal mendapati pesawat yang sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Kuala Selangor itu mengalami kegagalan mekanikal iaitu enjin gagal berfungsi ketika di udara. – Gambar ihsan Bomba Selangor, 27 Jun, 2024

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa pesawat sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Subang menuju ke Kuala Selangor.

“Pesawat dipercayai mengalami kegagalan mekanikal iaitu enjin gagal berfungsi semasa di udara sebelum jurulatih mengambil tindakan untuk mendaratkan pesawat,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai pendaratan cemas pesawat ringan itu pada jam 4.13 petang dan jentera bersama anggota tiba di lokasi kejadian pada jam 4.42 petang.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor memberitahu, operasi penyelamatan melibatkan tiga balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara, Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan.

“Pegawai Operasi Negeri, Mustakim Rimon yang berada di lokasi kejadian melaporkan bahawa pesawat telah diperiksa dan tidak menunjukkan tanda-tanda kebakaran,” katanya.

Kejadian tersebut akan disiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU). – 27 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related