Pura-pura nak bantu, dua penjenayah ragut dompet wanita di tepi Lebuhraya Kesas

Mangsa kemudian menangkap tangan suspek yang membonceng motosikal tetapi tindakan tersebut menyebabkannya terseret di atas jalan raya hingga cedera

7:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis memberkas dua penjenayah, masing-masing berusia 32 dan 33 tahun, selepas bertindak meragut dompet seorang wanita ketika berpura-pura hendak membantu mangsa yang berdepan masalah kereta di tepi jalan di susur keluar ke arah Kota Kemuning, Lebuhraya Kesas dekat Shah Alam, pagi semalam.

Kedua-dua suspek pada mulanya berhenti bersebelahan kereta mangsa dan bertanyakan sesuatu serta menawarkan diri untuk membantu.

Kejadian berlaku pada jam 7 pagi ketika mangsa iaitu seorang wanita berusia 58 tahun menghentikan kenderaannya di tepi jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, secara tiba-tiba salah seorang suspek mengambil dompet mangsa yang berada dalam beg silang yang dipegangnya.

“Mangsa kemudian menangkap tangan suspek yang membonceng motosikal tetapi tindakan tersebut menyebabkannya terseret di atas jalan raya hingga cedera.

“Kejadian itu dirakam salah seorang pengguna jalan raya menggunakan dashcam yang secara kebetulan melalui laluan tersebut. Video mengenainya tular di Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Shah Alam dan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala dan kaki sebelah kiri.

Katanya, mangsa juga mengalami kerugian dokumen pengenalan diri, kad bank serta wang tunai RM500 dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 1.30 hingga 3.00 pagi tadi, tangkapan telah dibuat ke atas dua lelaki oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sekitar Klang, Selangor. Kita juga merampas barang kes termasuk motosikal yang digunakan semasa kejadian bersama kad bank serta lesen memandu kepunyaan mangsa.

“Tangkapan berusia 33 tahun bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala seorang lagi tangkapan berusia 32 tahun, bekerja sebagai pembantu kedai makan, mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, tangkapan telah dibenarkan ditahan reman di Mahkamah Shah Alam selama tujuh hari sehingga 2 Julai ini oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan dengan kesalahan. – 26 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Of Chinese gangs, a M’sian ex-deputy minister, and Burmese rebels: KL event ensnared in Myanmar scam centre?

Human rights group reveals event at JW Marriott for controversial Dongmei Zone, which allegedly sourced billions of ringgit in investments from prominent individuals, and reported by Chinese human trafficking victim to be rife with crime, drugs, brothels

Related