KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 1980-an, Datuk Francissca Peter menyokong saranan agar kerajaan memperketatkan syarat penganjuran konsert membabitkan artis antarabangsa dengan mewajibkan penampilan artis tempatan.
Bercakap dengan Scoop, Francissca menyifatkan saranan itu sebagai usaha baik untuk menghargai serta melindungi integriti bakat penggiat seni tanah air seperti yang berlaku pada tahun 70-an hingga awal 90-an.
“Pada era 80-an, ramai artis tempatan berpeluang membuka persembahan untuk artis antarabangsa atau dijemput sebagai tetamu untuk membuat persembahan.
“Ini adalah kewajiban dengan persatuan pemuzik pada masa itu. Pada masa sama, artis Malaysia juga dibayar dengan baik untuk membuat persembahan sebagai artis jemputan atau pembuka bagi konsert artis antarabangsa.
“Selain itu, setiap hotel juga diwajibkan untuk mengambil artis Malaysia terlebih dahulu dan bukan kumpulan asing atau mereka perlu memilih sebuah kumpulan (artis) Malaysia dan sebuah kumpulan asing di semua kelab dan hotel,” katanya.

Menurut Francissca lagi, beliau sendiri pernah diberi peluang membuka persembahan untuk artis antarabangsa, rakan artis Malaysia serta duo tempatan, Pastel Lite yang menggelarkannya sebagai ‘muse’ mereka.
“Saya juga pernah tampil sebagai artis jemputan dalam konsert Jim Brickman beberapa tahun dulu. Saya menyanyikan lagu-lagu hits beliau ‘Valentine’ dan ‘Simple Things’ sementara beliau bermain piano.
“Abang Jay Jay dan Simon Justin artis hebat Malaysia juga membuat persembahan dan membantu mengiringi saya semasa lagu-lagu tersebut.
“Di Eropah atau Amerika Syarikat (AS), ini adalah kebiasaan. Contohnya, Rihanna pernah membuka persembahan untuk kumpulan Pussycat Dolls pada 2006. Taylor Swift juga pernah membuka persembahan untuk Tim McGraw,” katanya.
Beliau mengakui, menjadi artis sokongan dan artis jemputan untuk artis antarabangsa yang berjaya mempunyai nilai positif dalam banyak aspek.
Katanya, sekiranya kerajaan benar-benar prihatin dan menghargai artis Malaysia, pendekatan yang adil dan baik ini harus sentiasa diamalkan dalam industri muzik tanah air.
“Kita harus selalu membiarkan mereka menjadi artis jemputan atau pembuka bagi artis antarabangsa untuk menunjukkan kebanggaan kita. Dengan car aitu, mereka dapat mempamerkan bakat serta mendapat bayaran dengan elok.
“Ia juga menguntungkan untuk menonjolkan bakat tempatan kita dengan bangga bahawa mereka dipilih untuk membuka persembahan bagi artis yang mereka juga minati,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Muzik Tanahair (Music Malaysia), Ayob Abdul Majib yang amat prihatin dengan menyarankan cadangan tersebut terutama dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup.
“Ada ramai artis yang tiada bisnes sendiri, 100% menyanyi untuk cari makan dan bayar bil tiap-tiap bulan macam saya juga.
“Undangan sebegini dapat juga membantu kami serba sedikit. Ini akan memberi bantuan tambahan kepada kebanyakan artis yang bergantung sepenuhnya pada nyanyian untuk bertahan.
“Kehidupan hari ini semakin mencabar kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ia mungkin menjadi lebih mencabar bagi ramai artis pada masa akan datang,” katanya. – 26 Jun, 2024