KUALA LUMPUR – Isu melibatkan penerbit dan pelakon, Dharma Harun Al-Rashid dengan stesen TV AlHijrah sekadar salah faham dan kekeliruan dari sudut pemahaman kontrak berkaitan program Deko Ibadah terbitan produksi milik penerbit dan pelakon veteran era 1980-an itu.
Bercakap kepada Scoop, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kerajaan ada menyediakan Dana Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) bagi membantu penggiat seni dan beberapa stesen televisyen.
Katanya, dana itu bagi memastikan ekosistem industri kreatif hiburan tanah air terus bergerak dan tidak lumpuh.
“Menerusi Dana Pelaksana ini, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyediakan geran (secara percuma) kepada syarikat produksi tempatan bagi menghasilkan pelbagai jenis kandungan untuk disiarkan di stesen televisyen tanpa melibatkan apa-apa proses pembelian daripada stesen kepada penerbit.
“Semua geran yang diberikan itu juga perlu melalui proses pitching, tapisan pitching serta kelolaan ketat dan syarikat produksi Dharma antara yang terpilih menjadi penerima Dana Pelaksana ini. Menariknya, geran bukan sahaja diberikan secara percuma kepada syarikat produksi terpilih, bahkan harta intelek (IP) atau hak cipta kandungan dihasilkan juga menjadi milik mereka sepenuhnya.
“Memang itu dasar yang cuba didilakukan Finas dan bagi saya ia satu kaedah cukup baik yang diperkenalkan Finas pada ketika itu,” katanya.
Menurut Jurey, apabila sesebuah syarikat produksi terpilih menjadi penerima, Finas kemudian akan berbincang dengan beberapa stesen televisyen seperti RTM, Astro dan TV AlHijrah mengenai proposal (kertas kerja) kandungan yang diterima mereka.
“Memandangkan, program Deko Ibadah berbentuk Islamik dan bersesuaian dengan konsep serta hala tuju TV AlHijrah, maka stesen televisyen ini memberikan komitmen untuk menyiarkannya secara percuma di platform mereka melalui Dana Pelaksana.
“Semua ini ada tertera dengan begitu jelas di dalam kontrak dan Finas juga mengamalkan SOP yang ketat terhadap pembayaran melalui sistem milestone pertama, kedua dan ketiga.
“Jadi saya fikir, isu melibatkan Dharma dengan stesen TV AlHijrah ini sekadar salah faham dan kekeliruan dari sudut pemahaman kontrak,” katanya.
Begitupun tambahnya, beliau tidak mengetahui jika ada perbincangan lain melibatkan Dharma dengan TV AlHijrah dalam soal menjual kandungan dan IP program itu kepada stesen televisyen tersebut.
“Ini kerana, dalam kenyataan beliau sebelum ini, ada menyebut, beliau masih menunggu bayaran daripada AlHijrah.
“Apapun, Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah, Namanzee Harris sudah menjelaskan bahawa mereka adalah rakan penyiar program sahaja dan Dharma boleh menjual program itu kepada stesen televisyen kerana mereka juga berhadapan dengan kekangan wang,” katanya. – 25 Jun, 2024