Tak benar khabar angin Kerajaan Perpaduan bincang dengan PAS sertai kerajaan Persekutuan: Guan Eng

Beliau sendiri sudah berjumpa dengan Menteri-Menteri DAP dan mereka memaklumkan perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi

10:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menafikan khabar angin kononnya Kerajaan Perpaduan sedang mengadakan perbincangan dengan PAS untuk menyertai kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, beliau sendiri sudah berjumpa dengan Menteri-Menteri DAP dan mereka memaklumkan perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi.

“Khabar angin itu adalah sama sekali tidak benar.

“Ketika sesi taklimat khas yang diadakan sebelum persidangan Dewan Rakyat kepada barisan Ahli Parlimen kerajaan di Seri Perdana, Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak menyentuh langsung isu apa-apa perbincangan dengan PAS,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebaliknya, Guan Eng berkata, Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan tindakan pembangkang mempolitikkan pelaburan kerajaan, terutamanya mengheret isu BlackRock ke dalam perolehan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Anwar kata sekiranya logik seperti ini yang mahu digunakan, maka Malaysia perlu memutuskan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) kerana memberikan sokongan terhadap Israel. Ini sudah tentu tidak masuk akal.

“(Malah) Negara seperti Arab Saudi juga mempunyai hubungan dengan BlackRock,” katanya.

Beliau berkata, jelas sekali pihak yang cuba membuat tanggapan kononnya DAP terlibat dengan usaha untuk membawa PAS ke dalam kerajaan Persekutuan mempunyai niat menipu untuk memburukkan imej parti.

“Maka, pihak yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan mesti berhenti menyampaikan khabar angin yang akan mengelirukan rakyat terutamanya apabila kita sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sukar iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang.

“Jika tidak, mereka ini ibarat talam dua muka bagi Kerajaan Perpaduan, sedangkan hati mereka sebenarnya masih terpaut di luar,” katanya.

Pada 22 Jun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menafikan mahupun mengesahkan khabar angin bahawa PAS akan menyertai gabungan pemerintah pusat.

Menjawab soalan mengenai perkara berkenaan, beliau berkata, terdapat banyak ‘perbincangan berterusan’ antara kerajaan dan pembangkang khususnya dengan pemimpin negeri.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan pendirian parti tersebut bahawa tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan yang tular itu. – 24 Jun, 2024

Topics

Hangat

China’s rising 17-year-old badminton star, Zhang Zhijie, dead after collapsing on court

He was participating in the ongoing Asian Junior Badminton Championships in Indonesia

Poor driver vetting will steer public away from inDrive, says assault victim’s lawyer

Victim has criticised the company’s lack of transparency and slow response, is prepared to take legal action

PCM raises standards: Paralympics attire to outshine able-athlete attire 

PCM president proud to unveil Paris Paralympics’ national team attire design, collaborates with two local boutique brands

Related