KUALA LUMPUR – Berlagak seolah-olah terpaling Palestin, tetapi hakikatnya, Perikatan Nasional (PN) adalah gabungan aktif bekerjasama dengan BlackRock ketika menjadi kerajaan.
Itu ditegasnya Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan yang turut menempelak PN sebagai gabungan yang menunjukkan hipokrasi tahap tertinggi dalam tindakan.
Malah, dakwanya, ada antara individu dalam PN masih menerima gaji dari syarikat berkaitan BlackRock.
“Hari ini mereka menjadi ‘terpaling’ Palestin dan ini menunjukkan hipokrasi tahap tertinggi dalam tindakan mereka.
“Perlu dijelaskan bahawa dalam urusan terbaru melibatkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kerajaan sebenarnya hanya berurusan dengan Global Infrastructure Partners (GIP).
“Keputusan ini dibuat Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berdasarkan penilaian strategik dan kepakaran profesional untuk memajukan aset negara,” katanya menerusi kenyataan.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah berkata, paling ironi sewaktu PN memerintah, dana syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak USD 600 juta (kira-kira RM2.43 bilion) diserahkan kepada BlackRock, namun tiada bantahan daripada gabungan berkenaan ketika itu.
“Hakikatnya, kekejaman Zionis Israel adalah isu yang melatari dunia sejak berdekad lamanya, begitu juga dengan penglibatan perniagaan BlackRock dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Mengapa waktu itu nada mereka berbeza? Dan mengapa pula mereka hari ini menjadi terpaling Palestin, namun tidak semasa mereka berkuasa (menjadi kerajaan),” katanya.
Justeru, Angkatan Muda Harapan mencabar PN menyatakan pendirian mereka secara rasmi berhubung isu terbabit.
Malah, Ammar berkata, anggota PN yang berkaitan, dicabar melepaskan sebarang jawatan dan kontrak berkaitan BlackRock, sekiranya benar-benar komited dengan pendirian mereka.
Tegasnya, sebagai contoh, jika bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin benar-benar menentang penglibatan BlackRock dan sahih dakwaan orang ramai mengenainya, beliau harus melepaskan sebarang jawatan dan kontrak yang berkaitan dengan syarikat tersebut.
“Ini akan menunjukkan konsistensi dan komitmennya terhadap prinsip yang beliau nyatakan,” katanya.
Isu BlackRock timbul selepas Gateway Development Alliance (GDA), sebuah konsortium yang terdiri daripada Khazanah, KWSP, GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) mengumumkan tawaran untuk mengambil alih saham dalam MAHB yang belum dimiliki Khazanah serta KWSP.
GIP serta Adia akan menyertai konsortium itu di bawah usaha sama, GIP Aurea dan sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan, Khazanah serta KWSP akan menguasai 70 peratus MAHB, manakala GIP Aurea memegang 30 peratus.
Mengulas isu terbabit, Khairy ketika berucap di forum menghimpunkan pemimpin masyarakat sivil, aktivis dan ahli politik baru-baru dilaporkan berkata, tidak ada keperluan membawa masuk GIP milik BlackRock untuk menambah baik kualiti lapangan terbang di Malaysia.
Khairy turut dilaporkan memberi amaran kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia akan turut bersubahat dengan Israel dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza sekiranya meneruskan rancangan itu.
Semalam, GIP menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terbabit dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui GDA.
Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley berkata, seperti diumumkan Januari lalu, GIP akan diambil alih BlackRock dengan transaksi terbabit dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.
Manakala, Anwar berkata, negara tiada upaya membatalkan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel tetapi beroperasi di negara lain, selain meminta supaya isu BlackRock tidak dijadikan sebagai wayang politik pihak tertentu bagi menghasut rakyat.
Jelasnya, setiap pihak boleh menegur dan mengkritik, namun tidak menjadikan isu itu untuk menunjukkan siapa lebih ‘pahlawan’. – 23 Jun, 2024