Sanggup bermalam, beratur panjang tunggu pembukaan Apple Store pertama di Malaysia

15,000 pengunjung serbu The Exchange TRX, teruja ingin membandingkan harga produk yang dijual di Malaysia dengan luar negara

2:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gigih. Itulah kata-kata yang menggambarkan tindakan kira-kira 15,000 pengunjung yang sanggup beratur panjang dan menunggu lama untuk meraikan pembukaan Apple Store pertama di negara ini.

Tinjauan Scoop mendapati, terdapat sebilangan peminat produk keluaran syarikat itu sanggup tidur di kompleks beli-belah, The Exchange TRX di sini sejak semalam dengan harapan menjadi pengunjung terawal memasuki kedai itu.

Penyunting video, Afiq Halim, 33, berkata, dia beratur bersama pengunjung lain sejak jam 7.30 pagi.

“Saya ke sini untuk merasai pembukaan Apple Store pertama di Malaysia dan ingin membandingkannya dengan Apple Store di luar negara.

“Pada waktu itu, saya berharap Malaysia akan memiliki kedai yang sama kerana perkhidmatan dan layanan pekerjanya sangat baik.

“Jadi sekarang saya teruja kerana Malaysia sudah mempunyai Apple Store sendiri. Saya tidak perlu lagi pergi ke Singapura lagi,” katanya kepada Scoop.

Beberapa pengunjung datang dengan harapan ada hadiah percuma ditawarkan oleh Apple memandangkan itu adalah pembukaan kedai fizikal pertama mereka di negara ini. – Gambar Scoop, 22 Jun, 2024

Sementara itu, Jackie Koh, 33, dari Sabah yang setia menunggu sejak jam 7 pagi berkata, dia teruja dengan pembukaan kedai fizikal tersebut kerana ingin membandingkan harga produk yang dijual di Malaysia dengan luar negara.

“Saya pernah pergi ke Apple Store di Singapura dan Bangkok, jadi saya ingin melihat sendiri harga produk tersebut.

“Saya rasa harganya akan lebih murah daripada kedai di luar negara, jadi saya ingin membeli AirPod Max. Saya juga berharap akan ada hadiah percuma,” katanya.

Seorang pelajar dari Pulau Pinang yang ingin dikenali sebagai William, 20, berkata, dia agak kecewa dengan seni bina kedai tersebut, tetapi tetap berbangga kerana Malaysia kini mempunyai kedai rasmi Apple.

“Saya pernah ke beberapa kedai lain seperti di Singapura, Hong Kong dan Shanghai, bangunan di sana lebih estetik.

“Ia tidak menepati jangkaan saya (reka bina Apple Store), tetapi mungkin ia akan berubah apabila saya masuk ke dalam,” katanya.

William yang beratur sejak jam 8 pagi tadi merupakan peminat tegar Apple dan memiliki sembilan produk keluarannya.

Katanya, dia ingin membeli produk iPad Pro yang baru sahaja dilancarkan.

Apple hari ini mengumumkan pembukaan kedai pertamanya di Malaysia di pusat beli-belah The Exchange TRX.

Keadaan di luar Apple Store, di mana ramai yang masih menunggu giliran memasuki kedai Apple pertama di Malaysia itu yang menjual pelbagai produk seperti iPhone, iPad, Mac, AirPods, Apple Watches serta aksesori berkaitan. – Gambar Scoop, 22 Jun, 2024

Antara produk yang dijual di kedai tersebut adalah iPhone, iPad, Mac, AirPods, Apple Watches dan juga aksesori berkaitan.

Ketika ini terdapat lebih daripada 500 Apple Store di seluruh dunia. Apple Store di The Exchange akan menjadi yang keenam di Asia Tenggara dengan tiga lagi di Singapura dan dua di Thailand.

Machines Sdn Bhd adalah pengedar Apple Premium Reseller terbesar di Malaysia dengan 20 kedai dan syarikat itu juga merupakan pembekal perkhidmatan sah Apple. – 22 Jun, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related