KUALA LUMPUR – Penyanyi, pengarah dan penyampai radio, Mawi tidak menafikan penglibatan penceramah bebas, Ustaz Datuk Kazim Elias dalam Zim Zim Ala Kazim tarikan utama filem terbitan dan arahannya itu sehingga berjaya meraih kutipan RM2.2 juta dalam tempoh seminggu.
Bercakap kepada Scoop, Mawi atau nama sebenarnya, Aswami Ani berkata, pada awalnya orang yang datang menonton filem itu mahu menyaksikan sendiri kisah mistik menimpa Ustaz Kazim yang disihir individu kurang senang dengannya.
“Tapi, setelah menonton, pihak kami mendapat sudut pandangan yang berbeza daripada mereka (penonton) yang mana rata-rata mengakui Ustaz Kazim boleh berlakon.
“Respons lain yang paling banyak kami terima adalah filem Zim Zim Alam Kazim ini bagi mereka kelakar, menghiburkan serta memberikan pengajaran. Ia disampaikan secara mulut ke mulut hingga mendorong orang lain untuk menonton filem ini.
“Jadi, kalau ditanya kenapa filem ini berjaya raih kutipan RM2.2 juta dalam tempoh seminggu, jawapannya adalah kerana Ustaz Kazim itu sendiri dengan kisahnya disihir serta tanggapan penonton terhadap filem ini. Ustaz Kazim sendiri tak sangka filem ini mampu raih kutipan sebegini,” katanya.
Dalam pada itu, Mawi berkata, filem Zim Zim Ala Kazim juga sudah mula ditayangkan di Brunei sejak semalam.

“Penonton di Brunei minta sangat agar filem ini ditayangkan di sana. Jadi, saya pun cuba usahakan. Saya terus bincang dengan kerajaan di sana dan akhirnya ia dapat ditayangkan.
“Tapi, kita hanya tayangkan di satu pawagam sahaja iaitu The Mall Cineplex Gadong. Hari ini pun saya tengok ramai yang dah menempah tiket untuk tonton filem ini,” katanya.
Mawi juga mengakui apabila melihat Zim Zim Ala Kazim mendapat sambutan hangat, ia membuatkan dirinya semakin bersemangat untuk berkarya lagi.
“Lepas ini, saya betul-betul mahu bersedia untuk menghasilkan filem menggunakan format filem sebenar dan bukannya seperti Zim Zim Ala Kazim yang sepatutnya dihasilkan dalam bentuk format supertele untuk platform OTT.
“Saya dah pun merancang untuk buat filem baharu ini. Bahkan, saya tengah buat skrip. Tapi, filem baharu kali ini genrenya berbeza. Kali ini, genrenya adalah mistik seram yang serius.
“Perubahan yang saya lakukan ini adalah untuk mencabar diri saya sebagai pengarah dan menonjolkan sisi pengarahan yang berbeza. Untuk menghasilkan filem ini pula, ia memerlukan bajet sekitar RM1.2 juta,” katanya.
Selain Ustaz Kazim, Zim Zim Ala Kazim yang mula ditayangkan secara rasmi di pawagam pada 13 Jun lalu turut dibintangi Bell Ngasri, Anas Tahir, Shanthesh Kumar, Elvina Chua, Syanie Hashim, Zarina Anjoulie, Iqram Dinzly, Tosnah Johari serta Mawi sendiri. – 21 Jun, 2024