KUALA LUMPUR – Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilaksanakan dari kedua-dua arah di lencongan jambatan bailey (sementara) di Lebuhraya Kuantan-Segamat bagi meningkatkan tahap keselamatan serta sebagai makluman atau amaran awal kepada pengguna.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berdasarkan hasil siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian selepas seorang lelaki maut apabila lori dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, malam semalam.
Menurutnya, TMP dipasang mengikut prosedur dan spesifikasi seperti penyediaan papan tanda sementara (lencongan, had laju dan had muatan); garisan jalan sementara dan penghadang jalan.
“JKR turut menyediakan beberapa inisiatif tambahan seperti mengadakan speed bump bagi mengurangkan had laju kenderaan.
“Selain itu, lampu solar di laluan lencongan bagi turut dipasang untuk meningkatkan pencahayaan dan tahap keselamatan terutamanya pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Farhan Dagang, 29, dari Masai, Johor, yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas kira-kira jam 8.55 malam itu.
Ketua Polis Kuantan, Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori jenis Hino yang membawa alat jana kuasa.

“Siasatan awal mendapati lori dipandu mangsa dari arah Segamat menghala ke Pekan. Tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar penghadang plastik sebelum terjunam ke dalam lubang jalan mendap.
“Mangsa dipercayai tidak menyedari lencongan jambatan sementara di lokasi kejadian. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mengulas lanjut, JKR berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan.
“Pada awal Januari lalu, Laluan Persekutuan (FT12) di Seksyen 102 telah ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan struktur bebo arch culvert ekoran kejadian banjir.
“Lanjutan penutupan laluan tersebut, satu laluan lencongan dan jambatan sementara (bailey bridge) telah dibina bagi memastikan rangkaian perhubungan jalanraya tidak terputus,” katanya.
Pada masa sama, JKR turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian itu.
Jelasnya lagi, JKR sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja-kerja penggantian jambatan kekal di lokasi tersebut.
“Justeru, kami memohon semua pengguna jalan raya di laluan tersebut agar lebih berhati-hati serta mematuhi papan tanda dan had laju yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,” katanya. – 21 Jun, 2024