Isu subsidi diesel jadi ‘bola tanggung’ kepada PAS jika ia dimainkan di Sg Bakap, kata penganalisis

Ini kerana ada dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional sendiri yang bersetuju dengan rasional penyasaran subsidi diesel dilakukan

5:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu penyasaran subsidi diesel tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen oleh pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap kerana ada kalangan pemimpin mereka yang bersetuju dengan keputusan Kerajaan Perpaduan itu.

Pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Sivamurugan Pandian berkata, jika terus dimainkan semata-mata mahu meraih undi majoriti Melayu, tindakan itu akan menjadi ‘bola tanggung’ susulan terdapat sokongan dalam kalangan pemimpin PAS berkait isu subsidi diesel.

“Ada pemimpin PN sendiri bersetuju dengan rasionalisasi diesel dan sepatutnya menjadi bola tanggung kepada mereka jika isu itu mahu digunakan sepanjang kempen di Sungai Bakap.

“Bila ada sokongan dari sebelah sana (terhadap keputusan kerajaan), barangkali (isu subsidi diesel) sukar dijadikan sebagai bahan kempen (oleh pembangkang). Jadi saya jangkakan mereka akan terus menggunakan isu nasional seperti kos sara hidup dan prestasi Perdana Menteri,” katanya kepada Scoop hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan media berkata, PAS mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran subsidi diesel itu.

Namun beliau pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat.

Susulan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PAS itu yang disifatkannya sebagai memahami keperluan untuk penyasaran subsidi diesel dibuat.

Anwar berkata, semua Perdana Menteri dari berbilang parti politik yang mendahului beliau sebelum ini termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju bahawa mesti dibuat penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan yang banyak kepada kewangan negara.

Beliau bagaimanapun mengakui langkah kerajaan itu masih belum sempurna kerana terdapat beberapa kelemahan namun ia akan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Menurut Profesor Datuk Sivamurugan Pandian, jika isu diesel dijadikan modal kempen PAS untuk meraih undi majoriti Melayu, tindakan itu akan menjadi ‘bola tanggung’ kepada mereka. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2024

Sivamurugan berkata, Kerajaan Perpaduan bagaimanapun boleh membantu calon mereka dengan memberi penerangan dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat berkenaan isu subsidi diesel berkenaan.

“Walaupun begitu, tumpuan kempen wajar ke atas isu tempatan supaya tidak wujud salah tafsiran dari penerangan mereka yang tidak berinformasi sehingga ia menjadi bola tanggung semula kepada pengundi.

“Isu sini adalah isu seperti banjir, kebanjiran pekerja asing, isu rumah estet, prasarana, peluang pekerjaan dan kebajikan penjawat awam.

“Bagi Pakatan Harapan, tumpuan mesti seperti kempen di Kuala Kubu Baharu KKB baru-baru ini.

“Saya rasa yang akan menentukan kemenangan calon PH adalah aliran sokongan semula pengundi Umno yang ketara telah lakukan protes di Pilihan Raya Negeri lepas,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, jentera kempen kerajaan perlu memainkan peranan besar dalam memberi penerangan dan menjelaskan keperluan penyasaran subsidi dilakukan.

Profesor Madya Mazlan Ali berkata, amat penting buat jentera kempen kerajaan memberi penerangan jelas kepada rakyat tentang keperluan penyasaran subsidi dilakukan, selain memastikan kenaikan harga barang tidak berlaku dalam beberapa minggu mendatang. – Gambar Bernama, 16 Jun, 2024

“Penting sekali tempoh beberapa minggu akan datang kerajaan pastikan harga barang tak naik, buktikan penyasaran subsidi diesel betul-betul capai objektif serta tidak jejaskan golongan berpendapatan rendah.

“Menjadi jangkaan PN akan memanipulasi penyasaran subsidi diesel untuk mendapatkan sokongan kelompok pengundi yang tidak memahami isu tersebut,” katanya.

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin, 60, dari PKR diumum sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, pada 6 Julai ini.

Manakala anak jati Sungai Bakap, Pulau Pinang, Abidin Ismail, 56, dipilih mewakili PN. – 16 Jun, 2024.

Topics

 

Hangat

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

EPF 2024 dividend rate in 6%-6.2% range expected: analyst

Fund had diversified investments amidst a resilient global economy and other favourable conditions last year, may face a challenging 2025 due to global political and economic uncertainties

Related