KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesahkan menerima empat laporan polis mengenai kehilangan wang dari akaun simpanan tetap membabitkan kerugian bernilai RM24.2 juta.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan polis dibuat pemilik akaun dan kakitangan bank di Petaling Jaya, awal bulan ini memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah.
“Pengeluaran mencurigakan itu membabitkan beberapa akaun simpanan tetap di bank tersebut dengan kesemua pemiliknya menafikan mengetahui perkara tersebut, selain tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran seperti didakwa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, katanya, suspek berusia 38 tahun yang juga kakitangan bank berkaitan ditahan di Kota Kinabalu, Sabah pada 13 Jun lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat penglibatan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan urusan itu hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman.
“Melalui serbuan yang dijalankan, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit beserta kad sim, lapan kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM4,400 dan sebuah komputer riba,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan dan menangkap beberapa individu lain yang telah dikenalpasti sedang dipergiat.
“Polis akan memastikan siasatan kes ini dilaksanakan dengan sebaiknya selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan pelaku terbabit dihadapkan ke mahkamah,” katanya. – 15 Jun, 2024