KUALA LUMPUR — “Ya betul kita petang tadi sudah terima notis melalui Whatsapp dan emel,” kata Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berhubung notis terhenti serta-merta dimaklumkan dihantar Bersatu kepada enam wakil rakyat parti itu hari ini.
Bercakap kepada Scoop, beliau berkata, walaupun menerima notis itu atas alasan mengisytiharkan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri dan tidak mematuhi perintah parti, mereka
akan menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai wakil rakyat, sehingga status kedudukan mereka dimuktamadkan di Parlimen.
Menurutnya, notis itu mengesahkan bahawa keahlian dan status mereka sebagai wakil rakyat Bersatu digugurkan, tetapi tidak menyatakan mengenai pemecatan.

“Betul kita pun petang tadi memang terima…saya tengok ada lah (notis), mereka (Bersatu) dah hantar melalui emel dan juga Whatsapp kepada kita berkenaan dengan notis pengesahan pengguguran, bukan pemecatan, dia mention kita dah gugur keahlian.
“Sebagaimana statement (kenyataan) kita sebelum ini adalah sebagai ahli parti kita memang tetap kepada keputusan pimpinan tertinggi parti, sekiranya perlembagaan parti mengatakan macam tu,” katanya.
Azizi berkata, memandangkan surat itu baru diterima, semua wakil rakyat terbabit akan menentukan dan membuat pengesahan mengenai langkah bakal diambil, termasuk mungkin merujuk kepada pihak peguam.
“Mungkin juga kita akan tunggu keputusan nanti macam mana sebab kita akan masuk Parlimen pada 24 Jun nanti dan sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat, pada saya apapun keputusan, Speaker yang buat endorsement (pengesahan) nanti, buat masa ini kita menjalankan tugas seperti biasa (sebagai wakil rakyat),” katanya.
Beliau berkata, notis itu dihantar awal memandangkan kenyataan berhubung perkara berkenaan dimaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru dibuat, kerana kebiasaannya ia dilakukan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.
Malah, katanya, sepatutnya ketujuh-tujuh mereka yang diberikan notis terbabit, termasuk seorang iaitu Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman yang dilaporkan menerimanya pada 17 Mei lalu, mendapat penjelasan di mesyuarat MPT dan mesyuarat khas.
Ujarnya, mereka sepatutnya mengetahui siapa mempengerusikan mesyuarat dan ahli terlibat ketika pertemuan itu.
“Sebab yang sebelum ini kita argue (pertikai) jawatankuasa yang dibentuk itu, kerana pada kita meragukan.
“Kita pun dapat info dari kawan-kawan di sebelah sanalah di sebelah PN mengatakan ada juga seseorang yang tidak sepatutnya berada dalam komuniti itu terlibat sama,” katanya.
Pada masa sama, Azizi berkata, sebagai ahli parti sehingga mereka disahkan untuk dipecat, mereka mempunyai hak untuk mengetahui siapa jawatankuasa.
“Tetapi kita tak ada info, sehinggalah tadi terus terima surat mengatakan tergugur tapi bukan pemecatan.
“Maksudnya dia based kepada artikel dalam perlembagaan yang dah dipinda tu, bermaksud tergugurnya keahlian kita bermula daripada mesyuarat MPT baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, meskipun mengakui sudah menerima notis sama, Suhaili enggan mengulas lanjut kerana menganggap pemakluman dibuat Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan mengenai penyerahan dokumen terbabit, sebagai ‘tindakan berulang untuk mencari publisiti murahan’.

“Dia (Hamzah) dah bagitahu dah betul lah tu, tak mahu komen apa-apa, itu keputusan Bersatu, dia nak buat apa aja kita bukan boleh argue pun, kita terima sajalah tapi I tak nak komen, I dah bagitahu I tak nak komen (lanjut) sepatah pun.
“Benda ni berulang-ulang, dia cari publisiti murahan buat press release (kenyataan media) ni, benda dah lama daripada parti panggil kitaorang tu,” katanya.
Suhaili berkata, tindakan Hamzah itu umpama ‘konon-konon’ ingin menunjukkan Bersatu mengenakan tindakan, walaupun sudah maklum ketujuh-tujuh wakil rakyat berkenaan akan menghadirkan diri ke Parlimen pada 24 Jun ini.
“Kami bukan gugur status Bersatu… saya tak nak bagi dia publisiti murah,” katanya.
Hamzah dalam kenyataan memaklumkan, Bersatu sudah menyerahkan notis terhenti serta-merta hari ini kepada enam wakil rakyat parti itu yang mengisytiharkan sokongan secara terbuka kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala katanya, bagi seorang lagi wakil rakyat, Suhaili, notis terbabit dihantar lebih awal iaitu pada 17 Mei lalu.
Enam wakil rakyat itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Azizi (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), selain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN berkata, pihaknya akan menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Kelantan berhubung kedudukan wakil rakyat terbabit.
“Ada proses, perlu berhati-hati, perlu lengkap dengan laporan sebab kita tak nak gopoh, sebab itu ambil masa nak susun betul-betul, kita tak nak atas alasan teknikal, tindakan ini dikatakan tak berperaturan.
“Kita yakin (dengan) langkah (yang) diambil kerana banyak pihak kata betul, ikut Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti dan selaras itu, ROS (Pendaftar Pertubuhan) setuju dan kita beritahu Ahli Parlimen, ADUN Bersatu mereka kena patuh dan tandatangan tetapi ada yang tidak setuju… dan untuk menentukan adanya pilihan raya (kecil) kena bawa kepada Speaker,” kata Muhyiddin. – 12 Jun, 2024