KUALA LUMPUR — Ikan-ikan sepsis asing yang ditangkap, tidak akan dimusnahkan begitu sahaja sebaliknya boleh diproses dalam bentuk palet untuk dijadikan makanan ikan.
Malah Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, kajian yang dijalankan menunjukkan ikan-ikan spesis asing ini boleh dijual pada harga 30% lebih murah dari harga pasaran.
“Mungkin kita boleh sediakan tempat yang lebih tetap dan kursus untuk kita proses kerana mesin itu tidak mahal sekarang ini.
“Ia akan dipertimbangkan dan dibincangkan dengan lebih lanjut serta kita akan beri insentif kepada mereka yang hantar ikan invasif ini,” katanya.
Beliau ditemui media selepas operasi memburu ikan asing di denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat dekat Bangi, selama tiga jam, hari ini.
Sebanyak 1 tan ikan spesies invasif iaitu ikan bandaraya berjaya ditangkap dalam operasi yang turut disertai Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Izham berkata, ikan bandaraya merupakan ikan paling dominan dan ia amat sukar dimusnahkan.
Beliau percaya hampir semua sungai di Lembah Klang termasuk tasik dan lombong kini terjejas dengan kebanjiran ikan asing.

“Bukan hanya Sungai Langat, Sungai Klang dan Sungai Selangor (tapi) ada juga di sungai-sungai lain. Ikan ini asalnya daripada pemilik yang mempunyai akuarium, yang dibela untuk cuci lumut tapi bila sudah besar mereka lepaskan.
“Ribuan orang yang membela ikan bandaraya ini melepaskannya menyebabkan ia menjadi banyak dan membiak dengan cepat,” katanya.
Jelasnya, antara masalah lain yang dihadapi dengan ikan bandaraya ini ialah disebabkan sikapnya yang suka menebuk lubang di tebing sungai untuk bertelur menyebabkan tebing sungai runtuh dan air menjadi cetek.
Ditanya aspek penguatkuasaan berikutan tindakan ke atas individu yang melepaskan ikan asing sama ada secara sengaja ataupun bertujuan ritual keagamaan, Izham berkata pihaknya masih dalam proses untuk memperkemaskan undang-undang. – 9 Jun, 2024