KUALA LUMPUR – Selepas 55 tahun beroperasi, Majlis Pusat Singapura (MPS), menerima arahan mahkamah untuk pertubuhan itu ditutup dan asetnya ‘dibubarkan’ selepas ia gagal menyelesaikan hutang hampir $400,000 atau hampir RM1.39 juta.
MPS terpaksa ‘gulung tikar’ kerana gagal melunaskan hutang dengan nilai berkenaan kepada seorang pemilik syarikat yang menguruskan sebuah taman jagaan kanak-kanak (tajaka) bersama pertubuhan itu, malah dilaporkan sudah mengosongkan pejabatnya di Toa Payoh Central.
Pertubuhan itu menerima perintah Mahkamah Tinggi berkuat kuasa 20 Mei lalu kerana gagal menjelaskan tuntutan dikemukakan pemilik dan pengarah syarikat berkenaan, iaitu Three Aces, Siti Hasmah Adam.
Mahkamah mengeluarkan perintah itu pada 20 Mei, menyaksikan ia memihak kepada permohonan difailkan Siti Hasmah Adam untuk syarikatnya yang dilantik MPS untuk mengendalikan tajaka antara 2015 dan 2020.
Satu notis yang digazetkan pada 3 Jun menyatakan syarikat audit, cukai dan konsultan, RSM Corporate Advisory sudah dilantik sebagai pihak menjalankan proses pencairan aset, iaitu proses di mana aset syarikat akan dikumpulkan dan dihasilkan oleh penyelesai bagi tujuan pembayaran hutang syarikat kepada pemiutang, susulan perintah penghentian operasi dikenakan mahkamah ke atas MPS.
Menurut dokumen mahkamah, Siti menuntut lebih $228,000 (RM791,308.12) untuk pembayaran hutang tertangguh kepadanya sepanjang tempoh kontrak, selain lebih $135,000 (RM468,537.70) untuk beberapa kos, termasuk yuran guaman dan prosiding timbang tara.
Ditubuhkan pada 1969, MPS adalah sebuah pertubuhan giat memperjuangkan suara komuniti Islam dan Melayu di negara berkenaan, terutama dalam tahun tidak menentu selepas kemerdekaan, selain menganjurkan pelbagai kegiatan masyarakat, kebudayaan serta seni.
Ia asalnya sebuah organisasi yang memayungi lebih 30 organisasi Melayu dan Muslim, dengan matlamat memperjuangkan masyarakat dalam kalangan komuniti terbabit di negara berkenaan.
“Ia diwujudkan dengan latar belakang peristiwa pemisahan negara berkenaan dari Malaysia pada tahun 1965 dan rasa tidak tenang pemimpin Melayu ketika itu mengenai masa depan komuniti minoriti kami di sini,” kata bekas Menteri dan Ahli Parlimen di Singapura, Yaacob Ibrahim kepada The Sunday Times.
Pertubuhan itu menganjurkan seminar penting pada 1970 mengenai penyertaan Melayu dalam pembangunan Singapura, selain seminar untuk menangani masalah sosial lain, seperti penyertaan ke sistem pendidikannya, malah menganjurkan Bulan Bahasa, atau bulan bahasa Melayu dari 1982.
Kemudian, MPS menjadi terkenal kerana keberaniannya dalam membangkitkan isu berat kepada kerajaan bagi pihak komuniti, seperti mengapa pemuda Melayu tidak dipanggil untuk perkhidmatan negara yang menjejaskan kebolehkerjaan mereka, selain isu lebih mendalam mengenai kesetiaan orang Melayu kepada Singapura.
Selepas kumpulan bantuan program tuisyen sukarela, Mendaki ditubuhkan pada 1982, MPS melalui tempoh ‘sukar’ dan seolah-olah mencari identiti mengenai peranannya, apabila Presidennya, Zulkifli Mohammed pada 1992 berkata, beberapa pemimpin pertubuhan itu melihat pengembangan program berkenaan sebagai tanda ‘MPS tamat riwayat dan ia patut tutup,” katanya.
Sebaliknya, ia kemudian menemui peranan baru sebagai pelopor budaya komuniti, termasuk menjadikan Bulan Bahasa acara tahunan dari 1992, bersama festival tarian, pertandingan dikir barat dan persembahan seni.
Pada 2012, pertubuhan itu mengumumkan bahawa ia akan meminda Perlembagaannya supaya dapat terbabit dalam perniagaan untuk mengumpul lebih banyak dana bagi aktivitinya.
Namun, setahun kemudian, MPS terpalit dalam kontroversi apabila Jabatan Ehwal Komersial menyatakan ia sedang menyiasat pertubuhan itu atas sebab yang berkaitan dengan pengurusan acara nyalaan lampu Hari Raya Aidilfitri tahunan di sepanjang Geylang Serai.
Tiga pegawai pertubuhan itu, termasuk bekas presiden Saharudin Kassim, kemudian didapati bersalah menipu dan dipenjarakan.
Setiausaha Agung terakhir MPS, Isiah Majid dilaporkan berkata, selepas episod itu, sekumpulan sukarelawan mengambil alih pertubuhan berkenaan pada 2019 dalam usaha menghidupkannya kembali, tetapi tidak lama kemudian, muncul masalah mengaitkannya dengan tajaka.
Mengulas mengenai hutang antara syarikatnya dengan MPS, Siti berkata, selepas anugerah timbang tara pada September 2023, dia meminta pengurusan MPS melangsaikannya, tetapi surat peguamnya yang dihantar kepada pertubuhan itu ‘tidak mendapat maklum balas daripada exco’ berbulan-bulan, hingga dia memutuskan untuk mengemukakan permohonan pencairan aset.
“Saya benar-benar ingin mencari penyelesaian yang membolehkan MPS terus beroperasi,” katanya.
Pada April, Siti mencadangkan pelan pembayaran dipercayainya sebagai munasabah dan boleh dilaksanakan, memandangkan MPS terus mendapat pendapatan dari tajaka yang dioperasikannya di Tampines, iaitu Little Beez Playskool tetapi tidak menerima sebarang respons.
Ketika pendengaran mahkamah pada 20 Mei lalu, peguam pertubuhan itu tidak membantah permohonan pencairan aset terbabit.
Presiden terakhir MPS, Suri Abu memberitahu Berita Harian di Singapura pada 4 Jun lalu, bahawa urusan pertubuhan terbabit sudah diserahkan kepada pembubar, susulan perintah Mahkamah Tinggi dan jawatankuasa eksekutifnya dibubarkan.
Malah, kunci pejabat pertubuhan berkenaan di Toa Payoh Central sudah diserahkan pada 23 Mei lalu.
Berhubung perintah mahkamah itu, Isiah berkata, keputusan berkenaan mengecewakan, tetapi MPS tidak mampu merayu kerana yuran guaman.
Peguam Siti, Daniel Soo dari Selvam LLC berkata, Little Beez Playskool akan terus beroperasi di bawah pengawasan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak, dan sehingga kini ia mempunyai 25 guru dan memberi perkhidmatan kepada 100 kanak-kanak.
“Keutamaan bagi semua pihak adalah memastikan kanak-kanak yang didaftarkan di sekolah, tidak akan mengalami sebarang gangguan akibat daripada pencairan aset itu,” katanya.
Penghentian operasi MPS mengejutkan dan menyedihkan pemimpin masyarakat Melayu, seperti bekas Naib Presidennya, Abdul Halim Kader dan Dr Yaacob.
Menurut Dr Yaacob yang kini profesor di Institut Teknologi Singapura, perintah pencairan aset itu membawa mesej berlaku kekurangan kepimpinan baik dalam pertubuhan berkenaan yang pernah menjadi platform, bagi pemimpin Melayu bersuara dengan satu matlamat sama mengenai isu utama dihadapi komuniti mereka.
“Saya berharap komuniti saya (Melayu) dan pemimpinnya mengambil masa ini untuk merenung bukan sahaja mengenai implikasi sejarah perkembangan pertubuhan, tetapi berhubung cara-cara di mana, masa depan bagi institusi kami dapat diperkuat dan diberi kuasa, sekali gus terus mampu memainkan peranan pembangunan terhadap komuniti saya,” katanya.
Seorang daripada pemegang amanah MPS yang juga bekas Pengarah Eksekutif sebuah badan amal, Angkatan Karyawan Islam, AMP Singapura, Anuar Yusop memberitahu bahawa pemimpin awal MFS sangat fokus kepada budaya dan isu Melayu, manakala pemimpin kemudian gagal kerana mereka membuat langkah salah dengan mencuba perniagaan untuk membawa masuk pendapatan.
“Mereka tidak begitu bersemangat terhadap aktiviti budaya teras dan disebabkan itu gagal teruk,” katanya.
Sementara itu, meskipun menang dalam tuntutannya terhadap MPS, Siti berkata perasaannya bercampur-baur melihat pertubuhan berkenaan dibubarkan kerana mereka saling menyokong sebelum ini.
“Apabila mereka (pengurusan MPS) menghadapi kebankrapan pada tahun 2014, mereka mendekati saya untuk bantuan dan kami melaburkan simpanan untuk mengekalkan pertubuhan itu.
“Namun saya akan bergerak ke hadapan kerana keprihatinan utama saya adalah untuk masa depan Little Beez, agar kerja keras generasi terdahulu tidak sia-sia,” katanya. – 9 Jun, 2024