Pelakon legenda Hong Kong, Eric Tsang mahu berlakon dalam Sheriff 2, peminat minta Syafiq pertimbangkan

Syafiq bertemu Eric yang turut diundang untuk hadir ke majlis tayangan perdana Sheriff di Hong Kong

1:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kegagalan Sheriff yang kurang mendapat sambutan di Indonesia, tidak melemahkan semangat pengarahnya, Syafiq Yusof untuk terus menayangkan filem tersebut di Hong Kong atas permintaan pihak Warner Bros di sana.

Malah, Syafiq sempat memuatnaik bebeberapa gambar bersama pelakon legenda Hong Kong yang turut sama diundang menyaksikan tayangan perdana Sheriff di sana.

Poster filem Sheriff ketika tayangan perdana filem itu di Hong Kong baru-baru ini. – Gambar Syafiq Yusof, 7 Jun, 2024

Antaranya seperti Eric Tsang yang pernah mengarahkan filem Aces Go Places serta membintangi filem Infernal Affairs serta pengarah aksi lawan dan pelakon Drunken Master 2, Kenneth Lo.

Dalam pertemuan tersebut, Syafiq mendedahkan, Eric bukan sahaja memberikan kata-kata semangat buat dirinya tetapi juga menyatakan hasrat untuk berlakon Sheriff 2 jika ada kesinambungannya.

“Hong Kong is small but our films travel the world because we shoot until we cry”. (Hong Kong kecil tetapi filem kami mengembara ke seluruh dunia kerana kami membuat penggambaran sehingga kami menangis). Maksudnya bikin filem hingga titisan darah terakhir.

“Satu nasihat yang akan aku pegang. Terima kasih Master Eric. Beliau sempat promo Sheriff. Kata dia, kalau ada Sheriff 2 dia nak belakon,” katanya menerusi ciapan di platform X.

Rata-rata peminat filem Melayu tempatan teruja melihat hantaran berserta ciapan dimuatnaik Syafiq itu dan berharap Eric akan muncul dan membuat penampilan Istimewa dalam Sheriff 2.

Bukan itu saja, ada peminat yang siap memberikan jalan cerita untuk mengembangkan kisah Sheriff di Hong Kong pula. Gempak juga!

Terdahulu, Syafiq memuatnaik ciapan mengenai kegagalan Sheriff yang hanya bertahan selama empat hari di pawagam Indonesia biarpun pada perancangan awalnya ia sepatutnya ditayangkan di 100 pawagam di negara itu.

Menurut Syafiq, dia tidak setuju apabila peminat serta pengkritik filem di Malaysia berpendapat, filem Sheriff tidak laku di Indonesia adalah kerana sentimen mereka yang tidak mahu menyokong filem Malaysia.

“Kenyataan ini adalah 100 peratus tidak benar! Kegagalan filem Sheriff di Indonesia adalah kegagalan saya sendiri. Tidak harus persalahkan sesiapa.

“Rakyat Indonesia berhak untuk memilih filem yang mahu ditonton. Saya akui filem Sheriff masih jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan filem aksi Indonesia. Sekiranya sesebuah filem itu tidak laku di sesebuah tempat, itu bukan salah penonton tetapi salah pembikin.

“Saya yang harus bertanggungjawab atas kegagalan ini dan harus terus berusaha untuk memperbaiki kualiti filem saya di masa depan. Saya berterima kasih kepada Indonesia kerana memberi peluang untuk filem Sheriff ditayangkan di sana,” katanya.

Suasana panggung yang penuh pada tayangan perdana filem Sheriff di Hong Kong baru-baru ini. – Gambar Syafiq Yusof, 7 Jun, 2024

Dalam pada itu, beberapa netizen di Indonesia turut menjelaskan kegagalan Sheriff berpunca daripada kekurangan promosi serta pertembungannya dengan filem seram Indonesia, Vina: Sebelum 7 Hari yang memang ditunggu-tunggu peminat filem di negara berkenaan. – 7 Jun, 2024

Topics

 

Popular

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Related