PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, penamaan calon 22 Jun: SPR

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa)

12:40 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Sungai Bakap di Menara SPR di sini hari ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRK Sungai Bakap merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Azmi berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRK DUN Sungai Bakap ialah DPPR Tambahan Bulan April 2024 yang dikemas kini hingga 24 Mei lepas.

Beliau berkata ia melibatkan 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Menurutnya PRK DUN Sungai Bakap memerlukan peruntukan RM2.1 juta dengan 522 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu.

PRK itu katanya akan menggunakan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 65 tempat mengundi dan saluran serta satu tempat mengundi dan saluran awal.

Azmi berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK DUN Sungai Bakap ialah di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi. 

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

“Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuhkan SPR bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya sambil menambah pasukan itu dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.

Menurut Azmi, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu akan dibuka bermula hari ini secara dalam talian.

Tarikh tutup permohonan pula ialah pada 20 Jun bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media), 13 Jun bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 13 Jun bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

Semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dilakukan melalui portal di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 yang mula dibuka pada 18 Jun.

Azmi turut menyeru bakal calon PRK berkenaan untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus terlibat atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang sebelum hari penamaan calon untuk memudahkan proses berkenaan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus hendaklah dikemukakan calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon.

Katanya SPR juga menjemput mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan. – 6 Jun, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related