‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia tahun ini

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tema itu selaras dengan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membangunkan negara dan menyatupadukan rakyat

8:06 PM MYT

 

PUTRAJAYA – ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tema itu selaras dengan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk membangunkan negara dan menyatupadukan rakyat.

Menurutnya, Jemaah Menteri juga bersetuju mengekalkan logo untuk kedua-dua sambutan itu seperti tahun sebelumnya.

“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka dipilih sebagai tema sambutan HKHM 2024. Malaysia Madani merupakan tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

“Manakala, Jiwa Merdeka menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

“Malaysia Madani: Jiwa Merdeka merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya,” katanya pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema HKHM 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Julina Johan.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 berkata, majlis pengumuman logo dan tema itu bertujuan menguar-uarkan ketetapan pemilihan logo serta tema bersempena dengan sambutan tahun ini.

Beliau berkata, pengumuman itu turut memberi peluang kepada sektor korporat, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain untuk bersama-sama kerajaan menyemarakkan sambutan HKHM 2024 melalui bahan cetakan tersendiri serta penganjuran program.

Mengenai program sepanjang Bulan Kebangsaan, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi selaku Jawatankuasa Induk HKHM 2024 sudah memulakan gerak kerja sambutan itu dengan pelbagai program yang telah dan akan dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, kemeriahan sambutan HKHM 2024 dimulakan dengan penganjuran Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 pada 19 Mei lepas di Stesen Sentral, Kuala Lumpur, manakala Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan diadakan pada 13 Julai ini.

“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya. Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan sehingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept ini di Sabah,” katanya.

Fahmi turut berkongsi program sampingan yang mengisi kalendar sambutan HKHM 2024 iaitu Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang merupakan aktiviti konvoi kenderaan bagi membawa mesej kenegaraan dengan simbolik penyerahan Jalur Gemilang di setiap lokasi perhentian konvoi.

Katanya, turut diadakan program Langkah Jiwa Merdeka Bersama Membangun Malaysia Madani, Semarak Gemilang Kita Madani, Perkampungan Madani, Jiwa Merdeka antara kementerian dan Pentarama Live Jam.

“Perincian bagi semua program bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan ini boleh dirujuk melalui portal rasmi HKHM 2024 www.merdeka360.my,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, aktiviti kibar Jalur Gemilang terus disemarakkan melalui Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang disifatkan bertepatan bagi menterjemah semangat patriotik dalam diri serta ahli keluarga.

Susulan itu, beliau mengajak seluruh rakyat menghiasi kediaman masing-masing dengan bendera yang menjadi identiti di seluruh pelosok dunia.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya. – 5 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

No more political appointees: New Malaysian ambassador to US a career diplomat, says Tok Mat

The US has no objections with the nominee who is awaiting the Yang di-Pertuan Agong's consent

Related