KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan acara, Megatix tampil membuat permohonan maaf berhubung isu melibatkan penyanyi Indonesia, Putri Ariani yang didakwa tidak profesional kepada pihak media tempatan sewaktu sidang media konsert Walkerworld Tour 2024 baru-baru ini.
Megatix selaku penganjur konsert antarabangsa tersebut memaklumkan, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku dan percaya terdapat salah faham yang menyebabkan tercetusnya situasi tersebut.
“Kami ingin menjelaskan bahawa Putri Ariani, penyanyi berbakat dari Indonesia dan bintang program realiti American’s Got Talent (AGT), tidak pernah berniat untuk menunjukkan sikap tidak profesional.
“Putri Ariani sangat menghormati pihak media dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi temu bual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Megatix, selaku pihak pengurus acara bagi konsert Walkerworld Tour 2024, mereka ingin menyampaikan permohonan maaf setulus hati kepada semua pihak media atas sebarang kekeliruan atau ketidakselesaan yang berlaku pada sesi sidang media tersebut.
“Kami amat menghargai sokongan dan kerjasama rakan-rakan media dalam mempromosikan acara ini,” katanya.
Sehubungan itu Megatix menyatakan, bagi memperbaiki keadaan dan memastikan hubungan baik antara kedua-dua pihak, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan media, esok.
“Sesi pertemuan ini diadakan dengan tujuan untuk memberikan peluang kepada semua pihak bagi mendapatkan penjelasan lanjut dalam suasana yang lebih mesra dan santai.
“Sekali lagi, kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sangat berterima kasih atas sokongan berterusan anda,” katanya.
WalkerworldTour 2024 yang merupakan konsert jelajah Alan Waker bakal diadakan di Surf Beach Sunway Lagoon pada 22 Jun ini.
Pada konsert ini, Alan Walker yang merupakan dj serta produser muzik EDM kelahiran Norway bakal diiringi dengan persembahan artis jemputan seperti Putri Ariani, Robin Packalen dan Sofiloud.
Terdahulu Putri Ariani didakwa bersikap tidak profesional terhadap pihak media tempatan apabila membiarkan mereka menunggu selama dua jam bagi menyambung sesi wawancaranya selepas sidang media konsert itu berakhir.
Pihak media juga melaporkan mereka hanya berpeluang melontarkan tiga soalan yang dijawab secara ringkas oleh Putri Ariani pada sidang media tersebut, menyebabkan permintaan dibuat kepada penganjur untuk sesi temubual bersama penyanyi itu dapat dilakukan semula. – 31 Mei, 2024
Gambar: Putri Ariani IG
Caption: Susulan isu melibatkan penyanyi dari Indonesia, Putri Ariani yang didakwa tidak profesional kepada pihak media tempatan sewaktu menjayakan sidang media konsert Walkerworld Tour 2024 baru-baru ini, pihak penganjur, Megatix tampil memohon maaf dan percaya terdapat salah faham menyebabkan situasi itu berlaku.