KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pempengaruh atau influencer mempromosikan gaya hidup mewah mereka di media sosial yang dijana menerusi kandungan di platform itu menjadi antara punca sesetengah remaja mengambil mudah soal kepentingan akademik.
Ia disebabkan golongan itu tertarik untuk meraih kemewahan pada usia muda, sekali gus mengikut cara hidup ditonjolkan pempengaruh media sosal tanpa berminat memberi tumpuan serius terhadap pelajaran.
Bercakap kepada Scoop, Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Fauziah Mohd Sa’ad berkata, peranan pempengaruh media sosial dalam membentuk pandangan dan sikap generasi muda adalah sangat signifikan.
Menurutnya, apabila pempengaruh menyebarkan mesej kejayaan dan kekayaan boleh dicapai tanpa kelayakan akademik, ia boleh memberi kesan negatif kepada motivasi pelajar untuk belajar dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Media sosial sering mempromosikan gaya hidup serba pantas dan kepuasan segera. Ini boleh menyebabkan pelajar kurang sabar dan enggan melalui proses pembelajaran yang memerlukan dedikasi dan masa panjang.
“Pempengaruh yang menekankan kejayaan tanpa pendidikan formal boleh melemahkan motivasi pelajar untuk belajar. Mereka mungkin percaya pendidikan tidak penting untuk berjaya, seterusnya mengurangkan usaha dalam pembelajaran dan persediaan peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan dakyah segelintir pempengaruh media sosial bahawa seseorang itu boleh berjaya dan kaya tanpa SPM, hingga dilihat sebagai antara faktor menyumbang kepada lebih 10,000 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, apabila pelajar lebih tertarik kepada hiburan dan aktiviti tidak produktif di media sosial, akhirnya masa belajar dikorbankan dan prestasi akademik terjejas.
“Tindakan seorang pelajar yang berani mendedahkan keputusan gagal semua mata pelajaran di TikTok, misalnya, menunjukkan kurangnya rasa malu atau tanggungjawab terhadap pencapaian akademik.
“Jadi, kandungan negatif atau tidak berfaedah, seperti pempengaruh yang mempromosikan gaya hidup hedonistik atau tidak bermoral, boleh mempengaruhi nilai dan sikap pelajar. Ini boleh mengakibatkan masalah disiplin dan sikap tidak menghormati pendidikan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, walaupun terdapat individu yang berjaya tanpa SPM, kes tersebut adalah pengecualian dan bukan norma dalam kehidupan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Mohd Izwan Mahmud mencadangkan kerajaan menetapkan satu garis panduan yang perlu dipatuhi setiap pempengaruh dalam kandungan dihasilkan sebelum dimuat naik di platform media sosial.
Katanya, ia perlu dilaksanakan segera agar kandungan yang dihasilkan tidak mengandungi maklumat salah atau palsu sehingga mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.
“Salah tafsiran ini yang menyebabkan pempengaruh mengambil kesempatan atas kepentingan tertentu membawa naratif bagi menjustifikasikan bahawa tidak perlu peperiksaan SPM untuk berjaya atau melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Jadi isu ini perlu dilihat secara serius, kerajaan perlu ‘counterback’ mengenai isu dibangkitkan dalam masyarakat dan media sosial. Pelbagai isu berbangkit dalam konteks pendidikan dapat diselesaikan dengan cara baik tapi memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.
Malah beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan menyegerakan akta mewajibkan setiap pelajar menduduki SPM bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tidak hadir peperiksaan itu pada masa hadapan.
Untuk rekod, setakat ini tiada undang-undang menghalang mereka yang berusia 17 tahun untuk tidak menduduki SPM dan akta sedia ada hanya mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun. – 31 Mei, 2024