KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dari Bersatu, Hilman Idham yang mendesak supaya kerja-kerja perobohan dijalankan di Kampung Sri Makmur, Gombak beberapa tahun lalu, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Saya boleh katakan pada 2018 atau 2019… siapa yang mendesak saya untuk mempercepatkan perobohan? Tak lain dan tidak bukan Hilman, kerana dia tahu situasi dan keadaan di sana.’’
Amirudin berkata demikian ketika menjelaskan mengenai kerja-kerja pengusiran yang terpaksa dilakukan bagi membolehkan pembangunan dijalankan yang turut meliputi perumahan penduduk.

Pada Isnin, penduduk di Kampung Sri Makmur, Gombak meluahkan kekecewaan dan sedih kerana terpaksa pindah sedangkan mereka hanya diberikan pampasan RM1,000 dan masa yang singkat untuk berpindah.
Mereka menetap di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pengusiran itu adalah bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.
Terdahulu melalui satu surat bertarikh 24 April lalu, permohonan 10 daripada 24 keluarga ditolak atas sebab ketiadaan bukti bahawa mereka menetap di Kampung Sri Makmur sejak 2006.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, keperluan sekarang adalah untuk membuat perumahan yang lebih baik dan selesa di kawasan berkenaan.

“Kita lalui proses dgn tekun. Kerajaan kena jalankan terus kerana dekat sana sebenarnya ada banyak kejadian tak diingini, kehadiran warga asing dan perlukan pembangunan,’’ katanya.
Ditanya mengenai kerja-kerja perobohan di kampung itu, Amirudin memberitahu peluang sudah lama diberikan sejak beberapa tahun lalu.
“Kita bersedia melihat balik apa boleh dibantu, tetapi bukanlah saya janji okey baik saya ganti tetapi kita cakap kena buktikan mereka penduduk asal (yang) wajar dapat penempatan dan tidak dapat pampasan lain.
“Itu antara syarat kita letakkan, jadi (sesetengah mereka) prasyarat itu tidak dipenuhi (jadi) ditolak. Bukannya kesilapan kita, tapi yang 21 (penduduk) yang telah dapat itu (penuhi syarat). Alhamdullilah kita telah beri (pampasan),”
“Saya katakan (kepada penduduk) buktikan mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan dan pampasan untuk yang lain.
“Ini adalah antara syarat-syaratnya dan 21 penduduk dapat dan mereka berpuas hati,’’ katanya. – 30 Mei, 2024